Cerita 6 - 10 tahun dah pandai bercinta - Harapan Pudar

Monday, September 7, 2009



Kehangatan matahari jam 11:00 pagi memang menyegat. Sungguhpun sekolah aku ni dikelilingi pokok buah-buahan dan ladang kelapa sawit, tapi belum cukup untuk menghalang sinaran matahari memancar depan cermin kelas 4 Biru. Aku seperti jantan jalanan lain memang tak fokus kat pembalajaran waktu2 puncak begini. Kepala selalunya menerawang jauh menikmati pemandangan indah sungai kat ladang kelapa sawit belakang rumah, keseronokkan mencuri buah tembikai cina ladang, keseronokkan 'gabra' bila dikejar babi hutan... , pergh hati meruntun inginkan cuti penggal persekolahan di awalkan. Tapi tiada maknanya semua itu... Pak Anwar baru saja di lantik menjadi Menteri Pelajaran.. selepas memperkenalkan penggunaan bahasa baku di semua sekolah, kali ini musim persekolahan juga di panjangkan sedikit berbanding tahun sebelumnya.. hatiku merengus syahdu..

Dalam rengusan yang tak berapa nak jadi itu, jiwa aku mula tertanya apakah jawapan surat yang aku serahkan semalam... Ya... surat semalam masih belum berjawab... Lamunanku terhenti buat seketika bagaikan lagu aris ariwatan. Tetapi tidak dipimpin oleh seseorang.. aku terkejut bunyi loceng 'sual' yang betul2 dekat dengan kelas aku.. memang sual.. tapi tak buleh nak marah sebab itu maknanya waktu rehat sudah pon bermula.. tapi aku merasa kurang mood untuk menyambung permainan 'polis entry' petang semalam. Almaklumlah nak kena kejar orang pulak.. mood nya agak berbeza jika di bandingkan perasaan ketika dikejar.. Osman, Padli dengan Adi Putra awal2 dah menunggu kat depan kelas aku. Adi Leman, Henry dan Boy juga sudah bersedia.. Aku??? Rasa macam nak balik rumah, salin baju dan meneroka keindahan ladang kelapa sawit seorang diri..

Sedang asyik berlari tanpa arah, Boy yang badannya ala-ala Afdlin Shauki dah mula buat muka malas.. bayang Padli, Osman dan Adi Putra tak kelihatan. Begitu juga dengan Henry dan Adi Leman.

' Boy jom la lepak kat sini Boy, bosan la pulak nak carik budak2 ni..' aku memberi idea..

' Jom, aku pon dah malas nak lari dah nie, bukan buleh kurus pon..' sambung Boy memberi perangsang.. Memang dah kebiasaan sikap jantan jalanan macam kitorang, pedulik apa dengan orang lain, janji kitorg tak susah.. main nak enjoy, agak2 kalau main tu buleh jadi tension baik kitorg jadi cikgu matematik jer.. rungut aku dan si Boy... memikirkan andai di marah oleh Henry kalau nampak kitorg lepak2 jer tak kejar si 'pencuri'..

Tiba-tiba si Boy menepuk2 rakus belakang aku.. Aku kaget! Kena sawan apa mangkuk ni?? getus hatiku.. Ooo rupa-rupanya dia ternampak Sharini sedang berjalan menuju ke tempat kami melepak. Aku cuba menenangkan diri.. Buat muka se 'cool' mungkin. Namun dalam hati tuhan saja yang tahu. Aku mula merasakan harapan yang tinggi menggunung agar suratku bebalas hampir pasti.. Aku menunggu dengan penuh sabar, buat-buat berbual dengan si Boy.. dia makin hampir.. melintasi depan aku dan Boy tanpa sebarang reaksi melainkan senyum manja yang bisa buat hatiku luluh.. namun, tiada apa-apa..

'Mangkok betol!' getus hatiku.. macam tak nak balas jer surat aku!!! bentak aku lagi..

'Ooooo! Dah pandai hantar surat...! Dah jadi mat bungaaaa...!!' gertak si Boy..

Alamak pecah lubang aku hari ni.. sual! Si Boy memang tak tahu yang aku dah memulakan langkah mengorat si Sharini.. dan dia memang tau perangai aku kalau bab2 budak pompuan ni memang tak der dalam kamus jantan jalanan macam kitorang.. tapi nak buat macam mana.. rasa hati tak buleh simpan2 beb!

Aku terus berlalu.. Boy mengekori sambil gelak-gelakkan aku.. Dalam hati berbakul-bakul aku menyumpah seranah si Boy.. Aku tau benda ni mesti jadi gempak punya bila Henry, Adi Leman, Padli, Osman dan Adi Putra tau.. Berbakul-bakul pulak aku dikutuk dan di sindir oleh geng-geng jahanam nie.. masakan tidak sebelum ni pon aku lah jantan yang banyak mengutuk diorang bila main balas2 surat ni.. tak macho la, perasan la, mat bunga la, bangla kedai fast food la, dan berbagai2 lagi tohmahan pernah aku lemparkan kat diorg.. Kali ni memang dah nasib aku.. reputasi aku mula suram.. Sudahnya aku jugak yang kena, surat tak di balas, rahsia pecah.. memang hari ni hari sual aku.. Aku terus berlalu.. dan aku takkan mengharap apa-apa lagi dari Sharini, paham-paham sendiri la..

Sejak tu, aku mula seperti biasa, tiada apa2 yang menarik di sekolah, keseronokkan pergi sekolah tu pon hanya bertahan 2 hari. Bila Sharini tak balas surat tu, aku kembali normal seperti jantan jalanan yang lain. Dan bermula dari hari tu jugak, satu sekolah agama tau aku syok kat Sharini. Macam biasa mulut 'longkang' si Boy la yang jadi punca.. adakalanya aku seolah-olah 'paranoia' untuk ke sekolah.. Sebabnya aku syok kat si Sharini tapi belum tentu dia syok kat aku.. Malu beb! Tapi biasa la, hidup kena selamba.. dan aku terus selamba macam biasa buat tak pedulik apa mangkuk2 lain cakap pasal aku. Namun aku merasakan masih ada harapan bila member Sharini yang aku panggil Kak Lin hantar surat kat aku suatu petang dalam minggu yang sama.. Aku tertarik dengan satu ayat dalam surat tu..,

... Rin cakap dia suka kat awak jugak, cuma dia segan dengan kakak dia, kalau ada masa nanti dia balas surat awak...

Aku terkejut yang ntah keberapa kali.. Namun aku padamkan niat untuk merasa gembira dengan surat tu.. sebabnya itu bukan Sharini yang bagi.. dan info tu jugak cuma penyampaian kawan baik dia, bukan dari mulut dia sendiri.. namun aku masih menyimpan harapan, cuma usaha itu terhenti di sini..

Cerita 5 - 10 tahun dah pandai bercinta - Angau 3.

Saturday, September 5, 2009

Selesai solat Asar, murid-murid tahun 4 akan berehat selama 20 minit. Memang sekejap, dan pada waktu inilah rakan-rakan seangkatan akan keluar bilik darjah macam latihan pencegahan kebakaran kat bangunan KLCC. Bertarabur lintang pukang, bukan apa.., nak cepat-cepat makan lepas tu boleh main 'polis entry' kat padang tepi kantin tu. Dan di masa-masa inilah aku, Boy dan Adi Leman akan menggunakan kecekapan yang ada untuk menunjukkan aksi hero ala-ala Gaban dan Ksatria Baja Hitam masa main nanti.

Tanpa membuang masa, selesai saja melantak karipap 2 biji dan air sirap sebungkus, aku dan geng-geng jahanam yang lain menyambung permainan 'polis entry' yang dah pun berlangsung selama tiga hari. Itu termasuk sesi di sekolah kebangsaan pagi tadi. Memang hebat kitorg zaman ni kalau bab main nih. Sambil berlari menjadi 'pencurik' aku sempat menyelamatkan diri ke kawasan yang si 'polis' tak boleh masuk. Si Boy juga begitu, namun di kawasan yang berbeza. Rakan-rakan jahanam yang lain sudahpun di tangkap dan menghabiskan sisa-sisa masa dengan mangacau budak perempuan main batu seremban sambil menanti aku dan si Boy menyelamatkan mereka. Aku mula megarahkan Boy keluar dan lari apabila melihat Padli, Osman dan Adi Putra menyorok dan mengepung tempat dia bersembunyi. Dan jika Boy berlari aku pasti dengan mudah dapat menyelamatkan geng-geng jahanam yang lain. Ini kerana top2 gun encik polis sedang berusaha menangkap si Boy.

Tanpa berlengah dan bertindak mengikut arahan, Boy lari keluar dari persembunyian manakala aku memulakan langkah untuk menyelamatkan ahli geng yang lain. Sedang aku berlari tiba-tiba aku terlihat wajah ayu yang selama sehari ni mengganggu perjalanan hidup jantan jahanam ini. Aku pun memperlahankan larian menoleh dengan macho ala-ala iklan Ding Dang dan cuba melambaikan tangan, Srassssssssssssssssssss! Padli pon sampai, dan dengan rakus memeluk aku yang dah hilang tumpuan terhadap permainan. Osman dan Adi Putra menjerit kegirangan kerana Padli berjaya menangkap aku dan Boy. Maknanya tiada yang lain, bermula esok kitorg pulak kena jadi polis. Bosan betul!

Geng-geng jahanam yang lain semua dah buat muka Rosnah Mat Aris dengan kelalaian dan kegagalan aku menyelematkan mereka. Ah! Pergi jahanam lah, main 'polis entry' pon nak 'emo'.. getus hatiku. Dan seperti biasa Boy dan Adi Leman tetap selamba dengan kekalahan. Tak sedikit pon emosi dengan sikap aku. Masakan tidak diorg dah masak dengan perangai degil aku. Kami berkawan dari kecil dan tak pernah pon bergaduh seingat aku.

Sedang geng-geng yang lain membincangkan strategi esok, aku bersandar di tepi dinding dan cuba-cuba meng skodeng si Sharini yang tengah tekun mendengar Ustazah Zairani mengajar. Dan di ketika inilah dia memandang aku secara terus sambil tersenyum dan mengetap bibir tanda malu dan marah-marah sayang, macam cerita Ali Setan la pulak adanya. Aku dah mula hilang pedoman. Hatiku dah mula gusar. Nafasku sekali lagi dah jadi macam atlet paralimpik. Rasa nak terbang rasanya.. Piapppp! Songkok Henry hinggap di kepala aku.

'Ko nak main ker tak nak ni???!! Mantol jer dari tadi!! bentak Henry dangan nada serius ala-ala gaya Sarjan Misai dalam cerita Gerak Khas.. Aku terus mencapai songkok Henry, buat-buat fokus dengan perancangannya dan sedang asyik berbincang loceng pon berbunyi menandakan kami kena masuk ke kelas dan menyambung matapelajaran Al-Quran.

Kami terus ke kolah air untuk mengambil wudhuk. Seperti biasa pelajar perempuan akan dipisahkan ke sebelah kanan manakala pelajar lelaki di sebelah kiri.. Sedang asyik kami mengambil wudhuk, tiba-tiba Asiah, salah seorang pelajar baru meminta aku menghulurkan gayong. Minah ni baru sebulan sekelas dengan kami. Boleh tahan lawa dan menjadi kegilaan kawan-kawan aku yang pandai. Salah seorangnya si Zulhelmi. Mamat ni pulak ala-ala perasan yang Asiah juga syok dengannya.

Belumpun sempat aku menghulurkan gayong kat Asiah, tiba-tiba Zulhelmi dengan pantas bak halilintar cuba juga menghulurkan bantuan tanpa disuruh, Kedebushhhhhh!!!!! Dia terjatuh kedalam kolah dengan jayanya.. semata-mata tak nak Asiah menerima gayong yang aku cuba hulurkan.. apalagi, memang kesukaan geng-geng jahanam la menggelakkan si Zul. Boy dah terduduk dan tersandar kat dinding sambil tak dapat menghentikan tawanya, begitu juga dengan Adi Leman dan Henry... masing-masing tak boleh tengok satu sama lain ketawa, maka ketawa itu akan bersambungan sampai keluar lelehan air mata. Aku??? bukan sifat aku menggelakkan orang yang dalam kesusahan. Aku menarik Zul naik ke atas. Setibanya Zul di atas dia lantas bersuara..' licin la kolah ni...' aku terus melepaskan hilai tawa yang tertahan dari tadi. Geng jahanam yang lain?? Jangan cerita la diorang punya gelak.. Asiah dan Izah rakannya terus belalu sambil gelak jugak dengan peristiwa tadi...

Selesai sahaja kelas Al-Quran, loceng pon berbunyi, kali ini menandakan kami dah boleh balik. Dan seperti mana biasa attitude budak-budak zaman aku memang tak beratur pon bila keluar kelas masa nak balik. Baratur itu cuma wayang di minggu pertama persekolahan. Minggu kedua dan seterusnya?? Macam kambing keluar kandang la adanya. Dan di kesempatan ini aku takkan lepaskan untuk memulakan langkah pertama mengorat si Sharini. Ayat-ayat power sempat aku tuliskan masa matapelajran Al-Quran tadi. Akanku serahkan surat perkenalan di dalam bas nanti.

Aku melangkah yakin menaiki tangga bas. Boy dan Adi Leman dah ada kat bangku paling belakang, port biasa kami dalam bas. Sambil melangkah perlahan dan sibuk memerhati di manakah duduknya kekasih hati, bas pun berlalu meninggalkan sekolah Rendah Agama Bt. 13 Puchong. Ya.. aku dah nampak gadis yang mencuit hatiku sepanjang hari ni. Dengan tidak berlengah aku pun terus ke bangkunya dan meletakkan surat tadi di lengan Sharini. Dia tergamam dan cuba menggenggam surat itu padu seolah-olah menyorokkannya dari pandangan kakaknya yang duduk di sebelah. Ah! Pedulik hapa aku kakak dia ker abah dia ker..! Aku suka kat dia, yang penting dia yang balas surat tu nanti. Aku rasa lega... aku mengharap ada balasan darinya esok bila di sekolah kebangsaan nanti. Harap-harap esok bas Cik Khaliid tak rosak, kalau rosak pon aku suruh jugak bapak aku hantar ke sekolah. Kalau dia tak nak hantar jugak, aku pakat jalan kaki bertiga dengan Boy dan adi Leman.. Ya itu memang pasti..

Cerita 4 - 10 tahun dah pandai bercinta - Angau 2

Keadaan panas terik di luar bilik darjah sekolah agama membuatkan aku mula rasa mengantuk, masakan tidak, seawal 6 pagi aku sudah bangun untuk bersiap ke sekolah. Sehingga jam 4 petang ini aku masih belum merasa tidur barang selelap dua. Menjelang ke pukul 6 petang waktu pulang ke rumah, kami semua dah lembik macam kambing kena mandi hari-hari.

Sedang fikiran aku asyik menerawang keluar tingkap kayu bilik darjah, mata romeoku sudah mula lemau inginkan lena. Perlahan-lahan aku melayan fikiran yang memang tak fokus langsung dekat apa yang ustaz tengah bebelkan. Seperti biasa subjek Tajwid memang melemahkan saraf otakku di kala ini. Jika diikutkan hati mahu saja aku menyusup keluar perlahan-lahan dan menuju ke masjid bersebelahan dengan sekolah agamaku ini. Ingin rasanya aku 'on' kan kipas dan tidur sepuas-puasnya di dalam masjid berdindingkan batu yang sejuk itu.

Namun apakan daya, belum habis aku menerawang jauh, sebiji 'liquid paper' melayang hampir hinggap ke kepalaku. Nasib baik aku sempat mengelak, bagaikan aksi Gaban menentang musuh. Aku pasti 'liquid paper' tadi dihenjut oleh ustaz Mizi yang hangin satu badan bila tengok bebudak kelas aku tidur time dia mengajar. Dan aku jugak begitu pasti 'liquid paper' itu tidak ditujukan kepada aku. Kepada siapa?? Siapa lagi kalau bukan 2 orang sahabat karib aku, si Boy dengan Adi Leman. Dah lah duduk sebelah menyebelah, dua-dua boleh layan tido pulak tu, berseling-selingan berdengkur. Sual tol! Korang memang selamba... dan nasib baik aku tak jadi mangsa.. kalau kena kepala tadi fuuuuhhh!!

Boy dengan Adi Leman dengan selamba menyambung tidurnya selepas di tarik rambut halus disebelah telinga, zaman aku kitorg panggil 'side burn'. Kalau kena tarik side burn ni beb perghhhh pedihnya bukan kepalang. Namun dah lumrah jantan jalanan, buat apa pon kita orang selamba jer lagi. Aku terus melayan mamai sambil Ustaz Mizi menyambung pengajaran. Dah tak larat dah nak marah budak-budak spesis aku dengan kawan-kawan aku.. janji jangan memekak time dia mengajar sudah. Yang aku amat pasti di minit-minit terakhir ni, azan asar akan berkumandang. Kami semua akan beratur beramai-ramai menuju ke masjid sebelah untuk solat. Masa ni murid-murid sekolah agama tak seramai mana. Jadi bila solat kena solat jemaah semua satu sekolah.

Aku sudah mula berdebar, murid-murid darjah 6 sudah mula beratur di luar, di ikuti oleh murid darjah 5 dan seterusnya murid darjah 4. Sedang aku asyik melihat murid-murid darjah 6 beratur macam anak itik menuju ke masjid, mataku terarah ke satu entiti yang sering membuatkan jantung aku berdegup kencang macam atlit paralimpik. Siapa lagi kalau bukan 'mak we' yang bernama Sharini. Aku menggelengkan kepala, rasanya ingin saja aku bersunat sekarang, cepat-cepat baik, dan terus melamar dia jadi isteri aku.. Jauh masa depan yang aku fikirkan untuk hidup bersama.. gila!

Dan seperti yang tuhan tentukan, segala persoalan yang bermain difikiran ku sejak pagi tadi terjawab menjelang petang. Sharini rupanya tua setahun dariku. Alah apa ada pada usia, yang penting kematangan dan jiwa romeo itu perlu ada buat jantan jalanan macam aku nie.. Yang selebihnya terserah kepada yang empunya diri untuk menerima. Dari lengguk jalan dan sopan yang ada dalam diri Sharini, aku rasa dia nie stock budak pandai-pandai, dari jauh aku dapat melihat golongan-golongan yang ada harapan melangkahkan kaki ke Sekolah Menengah Agama Tinggi Hyshamuddin Klang melangkah penuh gigih menuju ke masjid. Bila tiba giliran budak2 kelas aku, ermm hampeh! Suruh pergi sembahyang macam suruh pergi berperang..

Cerita 3 - 10 tahun dah pandai bercinta - Angau...

Friday, September 4, 2009

Deruman enjin bas pak cik Khalid berlalu pergi meninggalkan padang Sekolah Kebangsaan Puchong. Boy yang dari tadi merungut bengang, sebab aku lambat berkemas menyebabkan kami terpaksa berdiri sambil menggalas beg yang berat mengalahkan askar nak masuk hutan. Fikiranku masih lagi melayang mengingatkan siapakah gerangan 'mak we' yang muka saling tak tumpah macam Ramona Rahman tadi.. Berbagai bentuk soalan subjektif yang berlegar di kepalaku.. Siapa nama dia? Tinggal kat mana?? Darjah berapakah dia? Kat mana kelas dia? Dia sekolah agama tak agaknya?? Terus hatiku menguntum senyuman, dengan harapan akan bertemu semula di sekolah agama petang nanti.. itupun kalau dia sekolah agama.. hatiku runsing kembali..

Sesampai sahaja di depan lorong rumahku, bas sekolah diberhentikan. Boy sudahpun turun dahulu kerana bas melalui lorong rumahnya terlebih dahulu sebelum rumahku.. Tanpa membuang masa aku terus turun. Ingin benar rasanya aku terus ke sekolah agama tanpa perlu mandi, makan dan tukar pakaian andainya dapat bertemu dengan 'mak we' tadi di sekolah agama nanti. Baru sahaja aku turun dari tanggga bas dan menapak selangkah dua, mataku tiba-tiba tercuri memandang ke arah tingkap bas sekolah yang tidak tertutup. Aku seakan-akan terpukau melihat wajah yang membuatkan aku hilang tumpuan hidup seketika sewaktu disekolah tadi. Langkahku terhenti sambil bas perlahan-lahan meninggalkan aku. Ya, dialah yang aku lihat disekolah tadi.. Yang membuatkan aku lebih teruja macam cerita Fear Factor ialah dia juga memandang aku! Terenyum sambil berbual-bual dengan seseorang disebelahnya..

Aku terpaku...

' chesss! satu bas dengan aku rupanya.. macama mana boleh tak perasan selama ni???' getus hatiku... aku angin satu badan dengan kelembapan pancainderaku selama ni. Bagaimana 'mak we' secantik itu aku boleh tak nampak?? Aku gusar sambil mempercepatkan langkahku untuk sampai ke rumah Wan Jenab.

Di rumah Wan Jenab aku terus menanggalkan pakaian sekolahku dan bergegas ke bilik air untuk mandi. Selesai mandi aku ke bilik mengenakan pakaian sekolah agama, segak dengan baju melayu warna putih dan sampin berwarna hijau. Yoy, cucu Wan Jenab yang muda setahun dariku sedang makan di meja, manakala aku bersiap untuk kesekolah agama. Sekolah 2 sesi memang memenatkan. Yoy yang dari tadi fokus menyuap makanan ke dalam mulut tiba-tiba terpaku melihatkan aku sudah berada di meja makan. Masa kan tidak, kerana waktu begini aku akan memperlahankan rentak untuk melambat-lambatkan proses ke sekolah agama dengan harapan bas cik khalid akan meninggalkanku kerana lambat, jadi aku tak perlu ke sekolah.

Berlainan pula sikap aku hari ni. Wan Jenab yang sedang asyik melipat kain juga mengerut dahi macam peserta Jangan Lupa Lirik! Kehairanan dengan tingkahku hari ni. Berlainan benar rasa mereka. Aahh! semua tu takku endahkan. Yang penting aku tak tertinggal bas kesekolah agama. Itu yang lebih penting..Selesai makan aku bersalam dengan Wan Jenab dan Tok Kijan suaminya untuk ke sekolah. Hatiku meronta-ronta untuk sampai ke sekolah agama secepat yang mungkin kerana di situ akan ada jawapan yang aku runsingkan sejak sejam lebih yang lepas.

13:50 ptg... Aku sudah terconggok di hadapan tangga rumah Cik Leman. Di sinilah aku dan rakan-rakan yang bersekolah agama akan menunggu bas Cik Khalid untuk ke sekolah agama. Adi anak Cik Leman adalah rakan sekelasku dengan Boy.. Dia masih lagi makan bersuap walaupun sudah beusia 10 tahun, begitulah manjanya dia dengan mak dia. Jeles pulak aku.. Cik Som mak Adi tersenyum sambil memandang ke arahku.. Aku faham makna senyumannya.. pasti akan ada soalan yang akan membuatkan aku kelu untuk di jawab. Namun keadaan tidak begitu. Cik Som hanya bertanya samada aku sempat makan ker tidak, walaupun begitu, itu sudah memadai buat aku rasa tersindir. Perasaan aku agaknya.

Bas sekolah tiba pada waktunya dan terus berlalu meninggalkan kawasan Kampung Pasir menuju ke Puchong Jln Klang. Di situlah aku bersekolah agama. Sekolah yang terletak di kawasan Kampung Kenangan. Sebelum sampai ke sekolah, Pak Cik Khalid akan mengambil budak-budak lain yang sehaluan dengan perjalanan kami ke sekolah agama. Aku merasakan perjalanan bas hari ini agak perlahan amat. Tidak seperti hari2 biasa. Setibanya di selekoh Kampung Sri Puchong, aku berdebar-debar. Entah kenapa agaknya. Bas sekolah terus membelok ke kiri dan masuk ke Lorong 3. Aku terlihat 3 budak perempuan berbaju sekolah agama serta bertudung menaiki bas. Salah seorangnya aku rasa adalah 'mak we' yang aku nampak kat sekolah kebangsaan tadi. Eh' ye ker?? Aku kurang pasti.. kerana 'mak we' yang aku nampak tadi tidak bertudung, tapi bila dah bertudung, aku jadi kaget. Takut salah orang. Namun jantungku tetap berdegup kencang. Sama laju dengan bunyi si Boy ni berdengkur. Aku pasti dia akan melintasi tempat dudukku. Yess! Memang benar bagai di jangka, dia lah jodoh yang aku nampak di sekolah kebangsaan tadi.

Buat menambah perisa gelora di hati, dia betul-betul terpaksa berdiri di sebelah aku sebab kerusi dah penuh. Bak kata pepatah, kalau jodoh tak kemana, hampir 90% soalanku tadi sudah terjawab. Dari tanda nama yang di sisipkan di tudung, aku cuba mengejanya satu persatu. Shim, Ro, Ya, Nun, Ya.. -Sharini! Indah sungguh namamu.. Seindah wajah yang sering mengisi slot filem-filem Melayu zaman itu. Secara tidak langsung tuhan sudahpun memberi berbagai jawapan kepada soalan yang menjurus kepada dia. Cuma yang aku belum tahu, dia darjah berapa? Kalau aku tau dia kelas mana, sudah tentu aku akan tau juga berapa umurnya.. Ya masanya akan tiba nanti.. mungkin situasi kebetulan seperti ini.

Sambil Sharini berdiri dan mengendong beg yang tak seberat beg sekolah kebangsaan tu, aku dengan spontan dan tak berapa nak macho terus berdiri mempelawa dia duduk di bangkuku. Dia senyum dan menolak dengan manja. Alamak si Boy pulak kat kerusi sebelah, dengan irama dengkur yang boleh didengar selang 3 kerusi ditambah pulak dengan air liur basi yang dah membasahi baju putih sekolah agama tu, aku pasti penolakkan itu bukan disebabkan aku.

Aku terus berdiri di sebelahnya. Sharini memanggil kakaknya untuk duduk di bangku yang aku sediakan untuk puteri yang sudah mengisi kekosongan di hati. Dengan selamba kakaknya terus duduk tanpa memperdulikan si Boy yang dah sampai kat Danau Kota tu. Bas berlalu pergi melintasi jambatan Sungai Klang di Puchong. Aku terus berdebar.., bertanya akan masih adakah waktu-waktu seperti ini esok?? Tak ingin rasanya aku turun dari bas ketika ini. Biarlah bas ini pusing 5 round lagi jambatan Sungai Klang asalkan aku dapat merasai detik ini barang sedikit lama. Malangnya masa itu benar cemburu, dan aku mula rasa Cik Kalid pon cemburu. Tiba-tiba aku rasa bas yang tadinya perlahan bergerak agak laju dari biasa. Kini bas sudah sampai ke destinasi. Sharini dan kakaknya turun dan terus beratur sebelum masuk ke kelas. Begitu juga aku dan yang lain. Selesai doa dibaca kami pon meneruskan usaha untuk menjadi insan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.......

Cerita 2 - 10 tahun dah pandai bercinta - Pandang Pertama

1989 lagi... - Sedang aku menyusun buku teks pinjaman untuk subjek B.M yang setebal sabun cap kapak, tiba-tiba segumpal kertas yang sudah dikeronyok berbentuk bola sebesar bola tenis hinggap di kepalaku..

' woi!' jeritku terkejut sambil mataku liar mencari siapa gerangan yang beraksi kurang sopan tatkala aku khusyuk menyusun buku SPBT tadi...

Nun dihujung kelas seorang rakan sekelasku bernama Azrol sudah mengangkat-ngangkat keningnya mengajak aku bermain bola di dalam kelas.. Tanpa berlengah kutinggalkan buku-buku tadi diatas meja, antara perkara yang paling aku suka.. main dalam kelas.. yess.. itulah yang selalu membuatkan aku berdiri sepanjang hari sambil berdiri tinggi dari orang lain sebab kena berdiri atas bangku.. Dan disebabkan aktiviti2 sebegitulah aku sering kena ligan bila balik mengaji sebab cikgu yang duduk belakang rumah tu dah sampaikan berita gembira tersebut kat mak bapak aku...

Tapi nak buat macam mana.. itulah naluri jantan jalanan yang tak boleh ditahan-tahan. Main dalam kelas sambil usik-usik rambut tocang budak-budak perempuan yang poyo-poyo dalam kelas.. boleh jalan la diorang. Ingat mengadu kat cikgu pasal aku dengan Azrol tu best sangat ker?? Baik join wanita Umno buat aktiviti kat balairaya kampung lagi bagus.. ada gak faedah untuk diorang.. senang belajar masak, menjahit, kemas balairaya.. esok lusa bila kawin kan senang..

Nak buat macam mana jugak.. itulah naluri budak-budak perempuan zaman sekolah aku.. tak rock langsung! Tak abis-abis nak jaga tepi kain orang, macam mak-mak diorg jugak time beli ikan kat Thambi yang selalu jual ikan pagi-pagi kat area rumah aku..

Sedang aku berdiri di atas bangku sambil menjunjung buku SPBT yang terlupa nak disusun tadi, aku terlihat satu kelibat yang amat-amat jarang lalu di depan kelas aku, cuma sejak 2-3 minggu ni dia selalu melintas sambil mendukung buku2 latihan budak2 kelasnya untuk dihantar ke bilik guru. Maklumlah kelas aku waktu tu betul2 bersebelahan dengan bilik guru, memang macam mana tidak, dia mesti kena melintas depan kelas aku.. Kalau dulu masa darjah 3, memang susah nak nampak kot sebab kelas aku tahun lepas kat hujung tanjung.. kena melintas padang sekolah dulu baru sampai. Kalau cikgu yang mengandung kena ajar kitorg, alamat waktu dah habis setengah baru dia sampai.. tu faktor jugak tu kenapa aku tak pandai..

Sambil dia melintasi kelas aku tadi, aku perasan dia sempat mengerling ke arahku yang tengah kepenatan berdiri. Dari alis mata yang berwarna coklat, rambut yang lurus, fizikal yang tinggi, dan lemah lembut bila berjalan tu, aku pasti! Inilah jodohku, biarpun waktu itu aku belum lagi menunaikan tanggungjawab untuk jadi dewasa, belum lagi berkhatan. Tak dapat aku bayangkan waktu tu, biarlah aku berdiri sepanjang hari asalkan dia melintas depan kelas aku 5 minit sekali, aku sanggup..

13:15 - Kriiiiiinggggggggg! Kedengaran nyaring bunyi loceng sekolah yang terletak betul2 sebelah pintu kelas aku. Berakhir sudah azab aku berdiri hari ni.. keluh hatiku.... Sambil kepala otak aku yang tak berapa nak pandai ni masih lagi berlegar-legar memikirkan siapakah gerangan si cantik manis yang sejak akhir2 ni kerap melintas di depan kelasku, muka ala-ala Ramona Rahman, heroin cerita melayu tahun 80-an.. Aku dah mula angau... hatiku gelisah dan meronta-meronta ingin tahu sekurang-kurangnya nama dia.. cukuplah buat bahan berangan malam nanti sebelum tidur.. Ah.. sudah.. melarat dah aku ni..

Azrol dah mula siap mengangkat beg sekolah yang berat mengalahkan isi batu bata adanya. Aku masih lagi duduk di kerusi bukan lagi kerana penat tapi memikirkan macam mana nak tau nama budak yang dah berjaya mencuit hati si jantan jalanan jahanam ini.

' eh Boy.., kau perasan tak budak pompuan yang lalu tadi masa kita kena berdiri tadi...??' tanyaku spontan macam aksi Din Beramboi dan Zizan dalam cerita 3,2, 1 Spontan!

' ah sudah, tanya pasal pompuan pulak dah.., kang Cik Khalid tinggalkan kita karang, cepat la.. kang kena berdiri dalam bas!!!' herdik Azrol yang juga sinonim dengan panggilan 'Boy'..

Aku terus bersiap dan menggendong beg yang sama berat dengan beg Boy tadi.. Bagitulah! Macam mana budak2 zaman aku nak pandai, sampai jer rumah memang dah tak larat nak 'revise' apa yg di belajar kat sekolah tadi, kepenatan bawak buku teks gamaknya..


'

Cerita 1 - 10 tahun dah pandai bercinta....

1989 - Jam menunjukkan pukul 06:30 pagi. Dengan longlai aku menyarungkan kasut kain beralas getah yang berwarna putih ke kaki dengan penuh longlai.. masa kan tidak, cuti hujung minggu yang hanya 2 hari tidak dapat aku nikmati dengan sepoya-poyanya.., penuh dengan aktiviti akademik yang aku sendiri tak tahu apa tujuannya. Musim persekolahan baru saja bermula 3 minggu..

Aku menyusuri lorong yang agak suram cahayanya, ibuku sudah bersiap menyediakan pakaian sekolah agama berwarna putih kemas dengan sampin hijau, rapi tesangkut di penyangkut baju. Baju itu akan dihantar ke rumah Wan Jenab, seorang nenek yang aku dah anggap macam nenek aku sendiri. Dialah yang akan menyiapkan aku setiap kali untuk ke sekolah agama petang nanti sebab mak bapak aku bekerja. Dialah yang akan mengasuh aku setiap kali mak abah aku sibuk.

Dari jauh kedengaran deruman enjin bas Pak Cik Khalid menuju ke lorong rumahku.. rakan-rakan yang lain semua sudah menunggu di hujung simpang.. menungu bas yang setiap hari aku doakan rosak di tengah jalan, jadi bila dah rosak aku tak payah pergi sekolah.. itulah doaku setiap pagi.. sebab tu susah nak pandai..

Setiap pagi itulah rutin aku setiap hari, pagi ke sekolah kebangsaan, sekolah di mana aku diajar jadi sekular, dan kemudian petang nanti aku ke sekolah agama, sekolah dimana aku diajar untuk jadi manusia yang sepatutnya patuh pada ajaran Islam. Bila malam aku akan ke rumah jiran sebelah untuk mengaji. Balik mengaji, buat kerja sekolah, lepas tu baru la boleh tengok TV. Astro?? Sorry beb, masa ni TV yang ada kat rumah pon stock2 kena lempang dulu baru gambar senonoh sikit. Kalau tak, pakat ramai-ramai dengar suara dengan nampak bayang2 orang jer.. kena pulak kalau musim orang pergi Mekah menunaikan fardhu haji, area rumah aku ni memang tempat laluan kapal terbang, rendah pulak tu sebab pilot tunggu isyarat untuk landing di teminal Subang... sementara tunggu isyarat tu pilot suka la berlegar-legar kat ruang udara kawasan Puchong nie.. menyumpah kalau tengah tengok cerita Airwolf ker, McGyver ker.. coverage channel TV akan jadi lintang pukang.. sual tol!

Begitulah dilema hidup aku dalam tempoh 3 minggu pertama persekolahan di darjah 4 Biru. Penuh dengan kebosanan buat jantan jalanan macam aku nie..