Showing posts with label diary of jantan jalanan. Show all posts
Showing posts with label diary of jantan jalanan. Show all posts

Cerita 15 - Kegagalan .. 'just a coma'

Monday, February 15, 2010

Kegagalan adakalanya menyebabkan kita sebagai manusia biasa mudah hilang punca. Kegagalan juga menyebabkan kita akan terus turun ke bawah dan mengekalkan tahap dimana kita selesa berada. Dan disebabkan kegagalan, kadangkala kita terlupa macam mana nak merancang untuk terus naik. Aku mula terpikir andai ditakdirkan aku gagal dalam SPM, macam mana aku nak menghadapinya. Ntah macam mana setiap kali aku berseronok dengan kawan-kawan jahanam, otak aku akan sering mengingatkan aku benda yang tak sepatutnya aku fikirkan masa tu. Sedang asyik tengah mandi manda kat sungai tadi aku boleh terpikir andai aku gagal, apa yang aku nak buat lepas nie?

Nak mengulang balik SPM untuk tempoh setahun lagi? Mungkin… Tapi yang penting bukan di sekolah yang sama. Mana nak letak muka beb? Jatuh saham jantan paling selamba kat sekolah.. Aku teringat kata-kata Boy masa tengah mandi manda tadi. Dia kata dia nak jadi ‘dispatch’ jer. Cukup jujur matlamat dia. Yang aku kagum dia kata janji rezeki halal, kerja enjoy, tak pening kepala. Lagipon dia akui dia memang tak sepandai aku dan kawan-kawan jahanam yang lain.

Ntah la.. aku mengeluh.. kalau setakat itu jer yang dia mampu nak pikirkan apa aku boleh buat. Sebagai kawan kena hormat cita-cita dia. Aku..? Aku rasa aku lagi teruk. Aku tak tau apa aku nak buat lepas nie. Sekurang-kurangnya orang yang mengaku diri dia tak pandai ada juga matlamat untuk teruskan hidup. Aku ntah hanyut ntah kemana. Hisap rokokpun masih lagi harap duit abah aku yang bekerja dari pagi sampai malam nak sara kami 5 beranak.

Aku terus termenung.. aku singkap tingkap bilik yang jarang di bukak. Malas nak mengadap pokok-pokok bunga mak aku yang berbagai jenis warna tapi tak mendatangkan hasil. Tanam pokok cili ke timun ker ada gak hasil. Dah jadi naluri aku yang agak-agak ‘basic’ dalam serba serbi. Aku menjauhkan pandangan mengadap jauh nun ke bukit ladang kelapa sawit. Jentera-jentera berat tengah sibuk menarah bukit-bukit yang sekangkang kera tu. Apa nak jadi dengan dunia nie. Susah payah tanam, tunggu hasil, lepas tu tebang. Tu semua terikut-ikut idealogi kapitalis. Nak untung cepat. Rasa aku belum sampai setahun pun tanah kat area Puchong nie di wartakan sebagai kawasan industri dan perumahan. Mudah benar diorang dapat hak milik tanah untuk di majukan. Hati aku mula risau andai segala-gala keseronokkan dan suasana sentimental yang aku lalui dengan geng-geng jahanam akan musnah dimamah pembangunan.

Keputusan SPM akan diumumkan dalam tempoh 2 bulan lagi. Esok aku kena carik jugak kerja sambilan sementara menunggu keputusan keluar. Ermm dah rasa malas nak bangun lewat. Esok aku bersemangat nak bangun awal pagi pulak. Boy dan Adi Leman pun keluar cari kerja jugak esok. Destinasi?? Kilang depan kampung ni jer kot. Kilang perabot yang baru 3 tahun beroperasi. Aku akan mencuba nasib. Tak kisah la kerja apa pun janji dekat dengan rumah, senang nak balik makan. Tak payah pening-pening kepala nak bangun pagi naik bas. Apapun aku kena pikirkakn sebarang kemungkinan lepas keputusan keluar. Aku kena merancang biarpun rancangan tu ibarat anjing menyalak bukit. Rancang tapi tak jadi apa. Sekurang-kurangnya aku ada persediaan mental andai keputusan peperiksaan tak menyebelahi akal kosong aku. Perlahan aku menutup kain langsir yang menghadang cahaya matahari masuk ke bilik aku. Aku merebahkan badan ke tilam… terus tertidur…

Cerita 14 - Langkah Sumbang

Friday, January 29, 2010

Sudah hampir 2 minggu aku meleraikan kekusutan menelaah pelajaran dari umur aku 6 tahun sampai la umur aku sekarang. 2 minggu juga tamatnya peperiksaan terakhir bagi jantan yang malas nak pakai uniform sekolah macam aku ni. Aku merasakan begitu bahagianya naluri jantan jalanan ni lepas tamat kertas terakhir SPM pada tahun itu setelah hampir 2 tahun aku menghadapi gerak gempur yang diadakan 3 bulan sekali sejak memasuki tingakatan 4. Sual sungguh! Bayangkan 3 bulan sekali ‘exam’ naik menyampah tengok pesil 2B, naik menyampah tengok kertas bergarisan biru berlogokan lambang sekolah, naik menyampah membelek kertas biru berisikan soalan-soalan. Dan yang paling menyampah habis kertas terakhir gerak gempur kena sambung balik sukatan pelajaran baru. Sual tak??? Tak bagi ‘chance’ langsung nak manja-manja dengan kawan-kawan sepe’montengan’.

Namun itu bukan alasan untuk aku tidak memonteng. Ada jugak antara subjek-subjek yang aku kurang gemar dengan cara pertuturan cikgu yang mengajar tu, aku selamba jer keluar buat hal aku. Malas nak melayan provokasi mereka-mereka yang kurang senang dengan keseronokkan aku lepas tamat gerak gempur. Malas nak layan. Diorang ni pon satu, macam la tak sibuk nak tanda kertas-kertas periksa tu, sibuk nak cepat habiskan sukatan tanpa mengira tahap tekanan kitorang masa tu. Mana nak layan stress jawab soalan, mana nak layan awek yang dah 2-3 kali hantar surat tapi tak pernahnya yang balas. Itu awek yang jauh, awek yang seberang bilik darjah tak kira lagi tu, mana nak lepak kat tangga dengan diorang lagi, sibuk mengalahkan YB Kinabatangan adanya aku masa sekolah tu. Tapi itu semua beberapa bulan dan 2 minggu yang lepas. Hari ni? Setiap kali bangun pagi aku dah tak pening nak pikir kat mana ‘port’ nak isap rokok hari ni. Setiap kali bangun pagi, aku dah tak pening nak pikir kat mana nak lepak bila cikgu matematik masuk selama hampir sejam nanti. Igaaun-igaun ngeri itu sudah 2 minggu berlalu.

Tapi satu suasana berbeza juga berlaku sekali lagi dalam hidup jantan ni. Aku dan keluarga berpindah sekali lagi ke Puchong, tanah tumpahnya darahku. Rindu nak kena kejar dengan babi hutan, rindu nak curik tembikai, rindu nak mandi sungai dan lombong, rindu nak tembak ayam hutan kat ladang kelapa sawit, rindu itu, rindu ini. Aku rasa nak menjerit hari ni. Seronoknya aku kembali ke pangkuan tanah yang mengajar aku jadi budak kampung yang selamba. Dan apa yang menjadi keutamaan aku hari ni, nak cari si Boy dengan Adi Leman. Aku rasa Boy dan Adi Leman dah balik dari asrama masing-masing semalam. ‘Kompom’ diorang ada kat rumah pagi ni. Aku dengan selamba, selepas sarapan, memulakan langkah ke rumah Adi Leman yang terletak di hujung simpang. Adi Leman seperti biasa sudah bangun awal, terbiasa dengan jadual asrama gamaknya, sedang ayu-ayu kucing menyidai baju di belakang rumah. Menyusuri denai di belakang rumah Adi Leman mengingatkan aku aksi ‘kombat-kombat’ tatkala kami berusia 8 ke 10 tahun dulu. Seronok menyorok di celah-celah pokok nenas yang di tanam Cik Som. A’h itu dulu sekarang, dah besar, dah pandai isap rokok, dah pandai pegang-pegang tangan anak dara orang, takkan nak main ‘kombat-kombat’ lagi, kena main benda yang lagi ‘adventure’ kat omputih.

‘Beb! Ek eleh, apa barang berkemban pagi-pagi sidai kain, macam anak dara la lu bai’ sapaku menyindir kat Adi.

‘ Eh, sual, aku sidai spender la bai, ngko lain la spender sendiri pon mak tolong sidaikan’, balasnya dengan nada selamba. Langitku rasakan gelap seketika tatkala kata-kata itu di luahkan.

Aku kelu. Malas aku nak layan angin mangkuk ni, getus hati yang tengah hangit terbakar.

‘Di, ada pegi mana-mana tak pagi ni?’ soalku lagi. Dalam kepala otak aku rancangan paling best hari pi mandi sungai jer sebenarya hari ni.

Adi membetulkan batu penghadang pokok nenas maknya. Dia duduk dengan tenang sambil mengeluarkan kotak Dunhill 7 yang berada dalam lipatan kain pelikat yang di pakainya. Dengan tenang dia mengeluarkan sebatang rokok dan menyalakannya sambil menghulurkan kotak Dunhill tu kat aku. Aku capai serentak dengan tu, aku komot dan aku campakkan semula.

‘Chess!! Dah habis baru nak hulur, songol la lu bai!’, bentak aku. Adi terkekeh-kekeh ketawa.
‘Sial ! Pagi-pagi dah kena kan aku’.. getus hati aku lagi.

Aku tanpa lengah mengeluarkan Dunhill 14 yang baru aku beli di kedai tadi. Mewah rasanya kalau baya-baya aku ni dah hisap Dunhill 14. Adi terngaga. Kaget melihat kotak rokok yang aku keluarkan tadi. Aku mencucuh api dan terus melayan asap rokok di bawah pokok bacang dan dikelilingi pokok nenas di belakang rumahnya. Aku dan Adi menyusun dan merangka aktiviti tak berfaedah untuk jadual hari ni. Boy, Henry dan Padli semua dalam perancangan untuk di hubungi. Yess ! Gathering untuk jantan-jantan jahanam akan kami laksanankan hari ni. Itupun kalau mangkuk-mangkuk lain setuju nak lepak kat sungai sambil mandi manda dan bertanya khabar setelah hampir 5 tahun buat hal masing-masing. Hati aku cukup gembira. Tiada lagi kegersangan memikirkan anak dara orang. Yang aku pikir, nak enjoy dengan mangkuk-mangkuk ni sebelum keputusan SPM keluar 2 bulan lagi. Yieeeha!

Cerita 13 - Jiwa Kacau

Friday, January 15, 2010

Tinggal hanya 3 bulan saja lagi peperiksaan SPM akan bermula. Rata-ratanya untuk mereka-mereka yang lahir antara tahun 79' dan kebawah, rasa aku..., sebab kalau ke atas dah tahun 80' dah tentu la kebawah yer tak? Aku?? Aku masih lagi tercari-cari rentak untuk memecah kebuntuan Pangkat 2 yang tak pernah sekali pon melonjak ke Pangkat 1 sejak peperiksaan gerak gempur di adakan sejak aku berada di tingkatan 4. Aku terus menerus berusaha untuk sekurang-kurangnya mendapat agregate 23, agregate paling sikit untuk aku meletakkan nama dipapan kenyataan sekolah. Namun aku sendiri tak tahu kenapa aku sukar berada di kalangan mereka yang mendapat pangkat satu. Mungkin sebab aku masih lagi meneruskan usaha memonteng bersama geng-geng jahanam yang lain membuatkan cikgu-cikgu kelas agak lokek menghadiahkan markah simpati untuk aku dan rakan-rakan yang lain.

Sesekali rasa kaget dan cuak itu timbul menghantui, dan lebih membuatkan jiwa aku lebih kacau bak gaya mat bangla kena cekup dgn awek bohsia, bila terima surat dari Fariza yang kerap memberi perangsang agar aku terus jadi orang. Itu semua duri dalam daging yang membolehkan nawaitu aku terpesong. Adakala terasa jugak nak membalas surat tu dan bagitau dia, cita-cita aku sebenarnya nak kerja kilang jer. Dan terasa jugak nak tambah, kalau dapat jadi supervisor kat kilang tu pun dah kira besar dah hajat aku, supaya dia tak letakkan harapan tinggi kat aku. Lagipon aku belajar untuk aku, bukan untuk dia, nak sama-sama dia kat menara gading.

Kadang-kadang jugak aku terpikir, kalau setakat belajar bersungguh-sungguh untuk ke menara gading, kemudian? Bekerja dengan orang, asal 'smart' sikit jer gaya berpakaian ketempat kerja tu, mak abah dah cukup suka dah. Jiran-jiran pon dah dok mengira umur anak dara diorang kalau boleh nak buat menantu. Tu la semua tu attitude orang Melayu, mind set yang kadang-kadang aku sendiri tak paham. Apa salahnya kerja kilang?? Asal dapat duit halal.. Apa salah kalau berniaga kat pasar malam ker, berniaga kat pasar basah ker, silap hari bulan duit bulanan si peniaga-peniaga ni dapat lagi mewah dari mereka-mereka yang berpakain kemas, masuk kerja pukul 8 pagi sampai 5 petang, tapi hujung bulan gaji tak cukup, hutang sana, hutang sini.

Ntah lah malas aku nak pikir kehendak masyarakat aku sendiri. Yang penting aku usaha setakat yang aku mampu, kalau dah nak gagal nak buat macam mana? Janji aku tak susahkan orang lain. Fariza pulak akhir-akhir ni asyik call dan cuba nak bagi semangat yang pada aku sebenarnya memberi tekanan. Menyampah pon ada kadang-kadang. Namun bagi jantan jalanan macam aku kena selamba. Tekanan-tekanan sebegini sebenarnya kena anggap macam cabaran teh tarik jer. Kena buat ala-ala selamba. Kalau dipikirkan sangat rasa macam nak balik sekolah darjah satu pon ada.

Aku teringat sorang senior aku yang beperwatakkan ala-ala selamba la jugak. Dek kerana terlalu selamba, waktu datang ke sekolah untuk mengambil keputusan SPM, dia mengendong anak-anak kembarnya bersama seorang perempuan yang jugak kekasih dia masa sekolah dulu. Aku tanya dia bila masa dia kawen? Dia cakap masa sekolah lagi, tapi mak bapak tak tau, kawen sendiri, bila dah terlanjur dan perut aweknya dah berisi budak, barulah mereka bernikah, namun apa yang aku respect kat mamat nie, masa tu satu sekolah tak tahu, waima, cikgu sekolah pon ala-ala terperanjat berok gaya peserta AF kesayangan diundi keluar adanya hari keputusan peperiksaan SPM dikeluarkan tahun itu. Namun mereka bernikah atas urusan keluarga setelah mengetahui kedudukan si kekasih hati yang dah tak 2 bulan tak datang haid.

Dan bak kata orang, dah rezeki anak, mereka berdua mendapat keputusan yang begitu cemerlang, yang buat aku tak sangka, senior aku yang sama-sama mendidik aku memonteng dan cara-cara nak cover line time isap rokok kat toilet boleh score 8A1. Geleng kepala aku, bukan setakat kiri ke kanan, atas bawah depan belakang aku geleng. Macam tak percaya. Namun selepas hampir setahun, aku dengar hanya dia yang menyambung pelajaran ke menara gading kerana isterinya tak sanggup meninggalkan anak kembar kesayangan mereka. Dan lebih beruntung badan, pengajian senior aku ni di tanggung sepenuhnya oleh pak mertua yang memang dikenali sebagai ahli perniagaan yang agak-agak mahsyuk.

Kalaulah aku di tempat senior aku nie, dah lama lingkup dah business pak mertua. Dan dalam aku asyik mengelamun tu, baru aku teringat esok aku kena pergi sekolah. Jam dah pukul 4 pagi, belajarnya tidak, mengelamun nya banyak. Kalau akal kata aku ni macam mat jenin, marah pulak hati, dan hati kena selalu jaga beb, bukan apa sebab mood nak study tu datang dari hati, kalau tak der mood payah beb. Aku terus mengemas buku-buku yang bersepah di atas meja. Surat Fariza aku campakkan saja di dalam bakul sampah, malas nak baca dah, tak masuk periksa pon. Sedang dok mengemas, jatuh pulak gambar-gambar menarik milik Fariza dari celah-celah buku. Aku terus mencapai gambar-gambar tu, aku baring ke katil sambil merenung jauh muka anak Pak Mail yang sering buat aku sasau satu ketika dulu. Dia cantik, bijak, dan agak pandai jika nak dibandingkan dengan aku.

Aku mengelamun lagi membayangkan andai aku berjaya dan bekerja suatu hari nanti, bagaimana hidup aku dengan dia bila dah berkahwin, punya anak.. Ah sudah, jauh angan-angan aku. Namun jauh di sudut hati aku merasakan dia bukanlah orang yang akan mengisi kerusi di sebelah kerusiku di pelamin suatu hari nanti. Ada sedikit kekurangan yang ada pada gadis ni sebenarnya, dia terlalu mengharapkan aku, mudah memberi sepenuh kasih sayang, maksud aku membuta tuli, dan itu membuatkan aku mudah bosan dan rasa tak mencabar menjalin kasih sayang. Lagipon aku tak der la romeo dan berayat jiwang dengan dia, malah dengan yg lain pon sama jer.. selamba itu perlu ada.

Dan aku mesti fokus dengan pelajaran aku, Fariza terpaksa aku lupakan mungkin sampai bila-bila, biarlah dia dapat lelaki yang boleh jaga hati dia, tak macam aku ni, buat tak pedulik jer. Aku pon dah mual nak berjiwa-jiwa dalam keadaan aku mencari hala tuju aku lepas nie. Kengkawan jahanam lain dah sibuk tak keluar malam dan tidur berbantalkan buku, takut lepas ni kena kerja kilang. Aku?? Aku macam biasa, tak kisah apa nak berlaku adanya....

Cerita 12 – 'Moral of The Story'

Thursday, January 7, 2010

Fariza lemah melepaskan genggaman erat tangannya tatkala bersalaman dengan aku selepas waktu rehat tadi. Air matanya menitis namun sedaya upaya di tahannya namun hakikat ‘perempuan tetap perempuan’ itu terbukti di depan mata aku sendiri hari ni. Gadis yang begitu cerdik, pandai, bijak dan senang cerita ‘charming’ la kata omputeh akhirnya tewas dengan air mata yang tercetus dari hati yang ikhlas.. cukup ikhlas aku rasa, setakat yang aku kenal dia selama 2 tahun ni.

Hari ini merupakan hari terakhir dia di SMS 18, selepas ni dia akan meninggalkan aku dan memulakan hari baru di salah sebuah MRSM di Pantai Timur. Sekali lagi, buat kali kedua aku terpaksa ditinggalkan oleh ‘booster’ yang selama ini menolak diri aku supaya membukak buku setiap kali balik sekolah atau aura alpha yang selama ini mengajak aku menelaah buku supaya tak gagal dalam akademik. Walaupun akademik aku tak la seteruk attitude aku, namun aku masih lagi di dalam golongan mereka-mereka yang mendapat perhatian guru setiap kali tamat peperiksaan penggal.

Kali pertama aku ditinggalkan apabila Sharini melangkahkan kaki ke Sekolah Menengah Agama Tinggi Hyshamudin Klang. Dan aku tak rasa sangap sangat sebab aku bukan ada apa-apa pun dengan dia, cuma aku jer yang suka kat dia dan dia belum tentu. Tapi hakikat dia antara penyebab aku berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya jugak macam dia tu merupakan satu fakta. Ego lelaki mungkin. Dan kali ini aku kehilangan ‘booster’ yang selama setahun ini membuatkan aku tak pernah gagal dalam peperiksaan ‘gerak gempur’ untuk menghadapi SPM pada tahun itu.

Namun aku tak merasa apa-apa sebenarnya. Cuma mungkin rasa simpati dan ada sedikit rasa kecewa sebab hilang seorang kawan yang boleh membantu.. Kawan??? Ahak! Ok la, awek la.. sebab Fariza memang tak mahu berterus terang perasaan dia kat aku. Dia pernah bagi tau yang aku sepatutnya tau perasaaan dia kat aku. Kata-kata tu seolah-olah buat aku rasa dia awek aku. Cuma dia tak pernah menidakkan atau mengiyakan. Sebelum pulang dari sekolah dia bertekad untuk ponteng kelas tambahan dan bertemu dengan aku dekat satu lorong tempat kami selalu berjumpa waktu petang sebelum aku ‘training’ bola. Lagipon itu hari terakhir dia di sini sebelum berangkat ke Terengganu esoknya.

Petang tu aku tak ada ‘training’. Aku sampai 5 minit awal dari masa yang di janjikan. Fariza masih lagi di muka lorong menuju ke tempat aku melepak. Macam biasa aku bawak ‘bodyguard’ merangkap tukang ushar ‘line’, mana la tau lalu pulak ustaz ke bilal ke time-time tgh syok borak-borak tu. Padli la sahabat setia yang sanggup membantu. Sesampai sahaja di bangku tempat aku duduk, Fariza menyerahkan sampul berisi album yang penuh dengan gambar aku dengan dia. Dia tau aku tak pernah simpan pon gambar yang selalu kami ambik setiap kali ada ‘function’ kat sekolah. Boleh hilang moral sebagai jantan jalanan beb, simpan gambar-gambar mcm gitu! Namun aku tak nak menghampakan gadis yang membuatkan aku sedikit fokus kat akademik selama ni. Aku capai jugak album tu. Fariza senyum dan sekali lagi aku nampak air mata bergenang di kelopak matanya yang bulat tu. Aku serba salah, aku ke yang nak tinggalkan dia atau dia yang nak tinggalkan aku. ‘Confuse’ jugak aku kadang-kadang dengan minah ni.

Kami sempat berbual selama 25 minit sebelum Padli datang dan mintak duit seringgit buat beli rokok, sebab Dunhill 7 yang kami ‘tong-tong’ beli tadi dia dah habiskan. Fariza sekali lagi menggenggam erat tangan aku sambil mahukan aku turut sama berusaha ke menara gading. Adus.. berat permintaan minah ni. Aku hanya mampu diam. Jauh berbeza keazaman antara aku dengan Fariza. Dia beriya-iya mahukan aku sampai ke menara gading supaya suatu hari nanti kami boleh bertemu sekali lagi di sana. Aku betul-betul kelu. Mampu ke aku?? Ah lantaklah.. bentak hati aku.

Dan sebelum dia meninggalkan aku duduk keseorangan kat bangku tu, dia sempat meletakkan bibir halusnya ke pipi aku. Berderau darah aku masa tu. Gila minah ni! Dia merenung tajam ke anak mataku dan sekali lagi memohon supaya aku berubah jadi orang dan bukan ‘memerang’ seperti yang selalu diguraukan sewaktu pulang dari sekolah. Sedih nadanya berbaur lucu...

Aku terus termenung sementara menuggu si Padli sampai. Ketagihan merokok dah mula hilang. Aku mula memikirkan kenapa orang lain yang tak ada kaitan darah dengan aku tiba-tiba jer suruh aku berubah? Kenapa arahan itu perlu datang dari pemikiran orang lain dan bukan dari naluri hati aku sendiri? Aku hilang sebenarnya. Hilang dalam terang. Hilang diri sebenar sebab leka dengan keseronokkan yang aku ada pada masa tu. Keseronokkan bersama rakan-rakan jahanam yang lain. Tapi walaupun kami jahat dan tak sebaik budak-budak lain, kami masih lagi berada dalam golongan pertengahan dalam akademik. Keputusan peperiksaan tak pernah menghampakan cikgu-cikgu yang mengajar. Cuma ada la 2-3 subjek yang agak goyah, cukup-cukup makan. Tapi itu semua tak mengganggu kredit kami untuk mengelakkan jatuh ke pangkat 3 dalam exam.

Dan buat pertama kali aku merasakan satu kehilangan. Kehilangan seorang yang boleh dijadikan ‘booster’ untuk melangkah setapak lagi untuk berjaya dalam akademik. Tapi biasa la manusia, masa dekat, buat bodoh jer, bila dah nak jauh baru la nak tercari-cari.. Aku tiba-tiba kaget, mampu ker aku teruskan ‘mood’ aku sekarang. Aku terus termenung… dan aku teringat cerita penceramah motivasi tahun lepas. Budak tu langsung tak menyangka dia akan menjadi raja dan langsung tak menyangka akan berkahwin dengan puteri raja, malah tak pernah mengimpikan untuk kaya. Namun atas kekuatan azam dan semamngat untuk terus hidup, dia berenang jugak sampai ketepi kolam menyelamatkan diri. Semuanya terjadi secara kebetulan. Tanpa sebarang impian dan perancangan yang di susun rapi. Tapi di sebabkan keazaman untuk terus hidup, dia mendapat sesuatu yang tak pernah diimpikan selama ni.

Maka aku harus menjadi seperti budak tu. Nak tak nak, aku kena usaha bukan untuk Fariza tapi untuk aku sendiri… dan mulai saat itu, aku mulakan hari aku semula, cuba belajar mencari ‘booster’ dari dalam diri aku sendiri. Awek ?? Sok lusa kalau dah pandai, dah masuk universiti, berlambak awek kat luar sana. Nak dengan tak nak jer. Aku melangkah longlai berjalan kaki pulang kerumah. Padli ntah pegi mana ntah. Tak boleh harap langsung.. aku dah start rasa nak merokok balik ni. Rokok kat dia pulak tu.. sual!

Cerita 11 - Jantan, Raja, Puteri, dan Budak Tak Bersalah .. moral of the story ??

Wednesday, January 6, 2010

Hari kedua berada dalam kem motivasi buat aku jadi hilang akal. Mana tidaknya, awal-awal lagi stok rokok yang di bawa dari rumah kena rampas dek fasilitator. Geng-geng jahanam aku yang satu sekolah semuanya dah dipecahkan ke kumpulan lain. Tinggal lah aku dengan 2-3 geng jahanam dari sekolah aku yang disatukan dengan jahanam-jahanam dari sekolah-sekolah lain dari sekitar Klang dan Shah Alam.

Ini semua berpunca dari bergaduh atas astaka sekolah minggu lepas. Ini jugak si Parid, Boy, Abe dan geng-geng yang lain punya pasal. Tak reti nak sabar langsung ! Minggu lepas, selepas sahaja perhimpunan, Abe dan Parid, geng-geng jahanam aku satu sekolah kena belasah dengan geng-geng jahanam budak india, jugak satu sekolah dengan aku. Punca kena belasah pon sikit amat, setakat terlanggar bahu sikit jer. Tapi nak buat macam mana kan, otai kena jaga maruah beb, terlanggar bahu pon tak boleh. Bongok punya Parid !

Jadi sebagai pembalasan, aku dan geng-geng jahanam yang lain ‘repeat’ balik lepas jer perhimpunan hari Isnin. Yang bestnya cikgu-cikgu belum pon sempat masuk bilik guru lepas perhimpunan tu, kitorang dah sesah mamat india ni ramai-ramai. Jadi bila dah ramai-ramai tu 'havoc' la jadinya. Maka di sebabkan aku antara orang yang 'obvious' belasah budak india tu, maka aku antara orang yang pertama kena tarik dek pengetua, yang baru sehari menjejakkan kaki ke sekolah aku.

Sebenarnya masa perhimpunan, sebelum aku dan geng-geng yang lain lanyak budak india ni, pengetua aku dengan bangga menyampaikan hadiah untuk Kejohanan Silat Olahraga Bawah 18 tahun anjuram MSSSM. SMS 18 merupakan johan peringkat daerah dan pengumpul mata tertinggi peringkat negeri. Maka dengan itu aku dan geng-geng jahanam yang lain terpaksa lah jugak menunjukkan kehandalan pesilat-pesilat simpanan sekolah termasuk tukang-tukang karate dari geng-geng jahanam budak india. Saja je nak publisiti jugak adanya.

Dan selepas di sesah sedas dua dek Cikgu Mursidi, aku dan geng-geng jahanam yang lain kena hantar pi kursus motivasi selama 4 hari dekat Kem Ampang Pecah. Bosan sungguh ! Dah la jauh, ulu pulak tu tempatnya.. nak lari balik macam mana ?? Nak tak nak gagahkan jugak la duduk kat situ 4 hari… 2 hari sebenarnya, sebab hari ke 3 kami berempat dengan jayanya balik sendiri sebab dah tak tahan tak dapat isap rokok. Aku, Abe, Parid dan Ej dapat meloloskan diri melaui lubang tikus belakang kem. Tapi pada aku itu buleh dikira satu kerja gila sebab kami lari dalam gelap malam dan kami memang tak pernah pon melalui jalan tersebut waktu malam. Itu belum cukup mencabar bagi aku sebenarnya. Yang lebih mencabar ialah, secara tiba-tiba otak aku buat pertama kalinya berfungsi dengan betul selepas dengar ceramah dari salah seorang penceramah motivasi sebelum aku melarikan diri malam sebelumnya. Cerita dari penceramah tersebut betul-betul buat aku terkedu dan otakku ligat berfikir, tapi ntah apa yang aku fikirkan pun aku tak berapa pasti. Yang pastinya persoalan itu banyak berlegar pasal diri aku !

Maka berceritalah si penceramah perihal seorang budak yang tidak bersalah dalam sebuah kota yang tidak diberitahu namanya. Arakian raja di dalam kota itu terkenal dengan kesukaan peliknya iaitu memelihara buaya. Terlalu banyak buaya-buaya dari pelabagai jenis dan serata sungai di negeri tersebut di kumpulkan dan diletakkan di dalam satu kolam. Adapun seperti yang terdapat dalam mana-mana cerita purba, tidak dapat tidak, maka raja ni mempunyai seorang puteri yang amat cantik lagi anggun. Susuk tubuh yang menarik yang boleh membuatkan Khairy Jamaluddin berhenti jadi YB dan bisa membuatkan dia lupa pada Maya Karin, kekasih gelapnya !

Berbalik kepada cerita si raja ni tadi. Ditakdirkan ketika umur puterinya mencecah 21 tahun maka umur raja juga mencecah 81 tahun, tua juga adanya. Maka si raja dengan rasa gelisah mula mahu mengahwinkan si puteri yang amat di sayanginya kerana dialah satu-satunya anak yang ada padanya yang terhasil dari zuriatnya, yang seterusnya menutup mulut isteri-isterinya yang terdahulu yang mengatakan beliau mandul adanya.

Dan disebalik kerisauan itu, kerana tiada siapalah yang diketahuinya layak memperisterikan puterinya yang cantik jelita itu kerana kebanyakkan yang ‘propose’ mamandang darjat dan kuasa semata. Sedang leka dia memikirkan bagaimana beliau ingin mencari bakal suami sekali gus pemegang tampuk kuasa kerajaan negeri, maka tercetuslah idea mahu mencari orang dari kalangan rakyat biasa. Maka tercetuslah idea bangang dari memanda menteri supaya mempergunakan kolam buaya yang ada di belakang istana tanpa mempersiakannya.

Berselang minggu, maka berhimpunlah rakyat jelata mahu menyaksikan bakal raja mereka yang bodoh untuk menyeberang kolam yang penuh dengan buaya-buaya ganas seperti yang diwar-warkan sebelum ini kerana barangsiapa berjaya berenang dengan selamat di dalam kolam yang penuh dengan buaya ini maka dialah yang layak memperisterikan puteri raja, mendapat kekuasaan dan satu lagi pilihan di atas tangan si pemenang. Dan diberitakan datanglah juga pawang-pawang buaya mahu mencuba nasib masing-masing. Selepas pengumuman di buat, maka terjunlah pawang buaya yang pertama ke kolam tersebut, belumpon sampai sesuku kolam hanya tinggal tangan sahaja yang terapung di permukaan.

Menjeritlah si penglipurlara memberitahu rakyat jelata akan kegagalan pawang pertama, maka pengumuman seterusnya untuk mengumumkan pawang yang kedua yang mana dikenali lebih handal dari pawang pertama. Dan terjunlah dia sesudah pengumuman di buat, namun jangan katakan suku, semeter pon tidak sempat dia berenang. Belompon sempat penglipurlara membuat pengumuman peserta ketiga, secara tiba-tiba kedengaran seolah-olah satu entiti melompat ke dalam kolam dan berenang sehabis kudrat, melepasi garisan pertengahan dia kelihatan letih, namun diteruskan jugak kuakkannya, lepas gaya bebas, keluar pulak kuak kupu-kupu, dan seterusnya sampai lah dia di garisan penamat. Alangkah terkejutnya si raja dan puterinya melihatkan hanya seorang anak muda yang hampir sebaya dengan puterinya termengah-mengah bangkit keluar dari kolam.

Berkata lah sang raja kepada pemuda itu, “ Wahai anak muda, telah aku berjanji kepada sekalian rakyat jelata, engkau akan aku kahwin kan dengan puteri kesayanganku, kedua, engkau akan memegang tampuk kekuasaanku selepas aku mangkat, dan ketiga terletak atas kehendak dan budi bicaramu yang akan aku tunaikan”,

Maka si pemuda tadi dengan keletihan dan tercungap-cungap menjawab, “ baiklah tuanku, tapi boleh tak dahulukan permintaan hamba yang pertama, kemudian hamba akan ikut titah tuanku berkenaan perihal kahwin dan memegang kuasa,’ balas orang muda itu.

Selepas berfikir beberapa saat, maka raja bersetuju dengan permintaan pemuda itu. Raja pun bertitah, “ Wahai anak muda terangkanlah apa keinginanmu”, tanya raja.
Maka jawab anak muda itu, “ Tolong lah hamba, tolong hamba carikan siapakah gerangan yang menolak hamba jatuh ke dalam kolam ini tadi….” Keluh pemuda yang tak berapa nak handsome itu.

Dan terkejutlah sekalian rakyat jelata akan ketidaksengajaan anak muda yang ntah datang dari mana secara tiba-tiba, waima akan memegang tampuk kuasa kerajaan negeri.

Dan sehingga hari ini aku tak tahu apa kesudahan cerita tu, tapi cerita masih lagi terngiang-ngiang kat telinga aku sampai hari ni. “ There is a moral of the story behind the scene.. “

Cerita 10 – Jantan Dilema - Yang Asli Dan Tiruan

Saturday, January 2, 2010


Cerita 10 – Jantan Dilema 2

‘ Im not like that but I can pretend..’ begitulah antara rangkap lagu dari band Nirvana yang begitu popular sekarang ni. Sudah menjadi satu fenomena di zaman remaja aku, rata-rata rakan-rakan se’jahanaman’ memang meminati irama muzik ‘underground’. Dari lagu dan irama yang agak-agak keras, sehinggalah cara berpakaian. Simple habisss.. ! Ada antara mereka sanggup berhabis ratusan ringgit untuk kasut Converse yang nampak ‘cool’, dengan jeans straight cut warna gelap, t-shirt pon ala-ala sempoi agak-agak nampak lusuh sikit. Itu semua menimbulkan perasaan meluat buat golongan-golonga veteran lebih-lebih lagi mak abah aku. Cukup meluat kalau diorang tengok aku pakai t-shirt hitam dengan jeans gelap. Aku pon tak paham kenapa.

Tapi nak buat macam mana… diorang pon muda-muda dulu macam tu jugak. Fesyen mereka dulu-dulu pon apa kurangnya. Aku tengok pakaian diorang pon boleh tahan, dengan seluar besar, dengan kasut tumit yang tinggi, baik lelaki baik perempuan, semua suka kasut tumit tinggi tu. Itu baru betul kalau kasut tu buat baling anjing, anjing tu boleh pening dan muntah-muntah 3 hari, 3 malam. Dengan kemeja yang sendat mendat sampai tak buleh nak butang sampai dada. Geng-geng diorang pon sama jugak. Macam saja jer biar dada tu terbukak dengan baju sendat mendat tu. Aku tengok dalam album gambar la semuanya tu pon. Aku bukannya ada lagi zaman-zaman era 70an tu.

Sambil dok siapkan kerja sekolah yang ntah aku sendiri tak tahu macam mana nak buat, aku layan lagu-lagu keras dengan hasrat mata aku tak mengantuk petang-petang ni. Jam loceng dah menunjukkan pukul 15 :00 petang. Kerja sekolah aku masih lagi tak siap. Pukul 18 :00 petang nanti dah nak kena pi training bola. Malam.. ? Biasa la melepak.. ! Aku meninggikan kelantangan suara radio bila lagu ‘Smells Like Teen Spirit’ berkumandang.. Sambil tengah layan hangguk kepala tu, kaset tu boleh pulak rosak. Songol betul.. ni gara-gara bagi member pinjam ler ni. Aku paling meluat kalau orang pinjam kaset lagu-lagu kegemaran aku bila pulang balik suara dan lagu dalam kaset tu bertukar. Bagi pinjam kaset lagu Nirvana, bila pulang balik tiba-tiba jer ada lagu kumpulan Fotograf pulak dalam tu terselit satu lagu. Bongok betul. Kalau lagu rock band lain yang keras-keras sikit ada lagi la keampunan pada aku. Macam la tak boleh rakam lagu tu kat kaset lain.

Sebab tu la aku ingat pakar-pakar teknologi digital zaman aku berusaha keras mengeluarkan entiti yang bernama cakera keras, compact disc, digital video disc atau nama melayu dia DVD. Ni semua punca-punca mamat-mamat bunga ni la yang dok seronok tak ingat copy lagu guna pita kaset bila lagu kegemaran diorang dimainkan di radio. Bila bercerita pasal copy-copy lagu ni aku teringat sorang member sekelas dengan aku. Lokman nama dia, budak-budak sekolah aku panggil dia Man Longkang. Aku pon tak tau kenapa gelaran dia busuk sangat. Dengar-dengar cerita dari mulut ke mulut, mamat ni dulu selalu report kat cikgu pasal aktiviti-aktiviti geng-geng jahanam kat sekolah. Jadi diorang suspect mulut longkang mamat ni la yang selalu buat geng-geng aku kantoi baik aktivit isap rokok sampai la ke aktiviti ponteng kelas. Semuanya gara-gara mulut mangkok sekor ni. Tapi selagi dia tak kacau aktiviti aku sudah, boleh kawan. Aku jenis yang tak suka dengar cakap orang kalau bab berkawan ni. Dia baik ker, jahat ker, kaki report ker, selagi entiti tu tak kacau aku, aku tak der masalah.

Berbalik kepada cerita mangkok sekor ni. Si Lokman ni sebenarnya rajin beli surat khabar bila balik sekolah. Surat khabarnya tak lain tak bukan, Harian Metro. Aku pon pelik. Nak kata mangkok sekor ni rajin belajar tak jugak. Pandai ? Tak jugak.. silap hari bulan pandai aku sikit jer yang selalu memonteng ni dari dia yang balik sekolah pukul 15 :00 petang setiap hari sedangkan orang lain balik kol 13 :30. Aku pon pelik. Nak dipendekkan cerita kaset aku yang dah jahanam ni dia la pinjam dengan alasan nak tukar selera nak dengar lagu-lagu keras tak nak dah dengar lagu-lagu tangkap lentok ala-ala Slam, Fotograf, Scoin, UK’s adusss mamat ni apa punya selera telinga ntah ! Aku rasa telinga dia ni ada masalah dengan bunyi muzik moden berteknologi tinggi agaknya. Jadi aku pun bagi la pinjam dengan harapan lepas ni kalau dia dah tukar selera boleh la aku pinjam kaset dia. Itupun kalau dia tukar genre muzik yang sealiran dengan telinga aku. Suatu hari tu aku ternampak surat khabar yang dia beli semalam ada atas meja, jadi aku pun selak la selai dua halaman bermula dari belakang. Sorry beb, gua tak tengok nombor 4 digit yang menunjukkan jalan ke neraka tu. Mintak dijauhkan. Aku buka page belakang sebab baca ruangan sukan lebih-lebih lagi kalau ada cerita pasal team bolasepak Selangor. Baca preview game. Tengah aku selak-selak, sekali terperasan di ruangan rancangan tv dan radio tu ada tajuk lagu yang sudah di ‘highlight’ kan dengan pen pencerah. Aku rasa mual !Ada ker lagu Iwan dengan Amelina pun dia select sekali nak rekod dari channel Radio Muzik. Zaman aku radio pilihan anak-anak remaja secara ‘standard’nya ialah radio Muzik. Bukan apa diorang nak rakam-rakam lagu-lagu kegemaran diorang kat channel ni la. Pasal senang lagu apa nak ke udara malam nanti dah ada dalam senarai dikeluarkan akhbar ni setiap hari. Jadi secara tak langsung aku tau dah mangkuk mana yang tukar lagu band kegemaran aku kepada lagu-lagu yang boleh buat longkang bau wangi. Ni mesti kerja si sual ni.. ! Aku pon pasrah, kaset band kesayangan aku dah hilang identiti jantannya. Aku rasa macam nak sekeh jer kepala mangkok sekor ni ‘test pen’. Ada jugak terasa nak korek telinga dia guna pencungkil gigi yang tajam tu, biar peka sikit dengan irama muzik semasa. Dan ada jugak terasa nak bakar radio rumah dia sebab suka-suka copy lagu tak senonoh tu guna kaset aku.

Namun terpaksa aku lenyapkan rasa geram aku bila mengenangkan apa sangat la kaset tu nak di bandingkan jasa dia yang rajin ‘cover line’ aku bila aku ponteng atau pi isap rokok se’pam’ dua kat tandas. Ntah la, kadang-kadang aku terpikir jugak, kenapa dia ‘cover line’ aku tapi ‘line’ jantan jahanam lain dia suka report. Aku pon pelik.. Nak carik pengaruh kot? Senang nak suruh aku undi dia jadi ketua pelajar sekolah tahun depan. Ntah la, kalau macam tu ada ciri-ciri jadi Adun BN mamat sekor ni bila dewasa kelak.

Cerita 9 – Jantan Dilema

Wednesday, December 30, 2009

Jam di dinding menunjukkan pukul 19:30 malam. Aku mempersiapkan diri bersedia untuk ke masjid di hujung simpang. Aku jarang solat bersendiri pada waktu Maghrib. Terasa seronok berjemaah di masjid yang terletak berhadapan simpang masuk ke lorong rumahku. Selesai berwuduk, aku menyusun langkah ke rumah Allah menjadi tetamunya walaupun sekali sehari. Di masjid, imam sudahpon bersedia qiam, tanda tawadhuk dan cuba fokus untuk khusyuk dalam solat. Takbir pertama di angkat dan terdengar nyaring suara imam membacakan surah Al-Fatihah dengan lagu yang cukup ringkas tetapi bisa meruntun hati jantan jalanan ini. Tajwid yang jelas dan nyata cukup dengan idgham dan harakat yang sempurna.

Selesai solat aku pulang ke rumah dengan angan-angan untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberikan siang tadi. Sesampai sahaja di simpang masuk ke lorong rumah, Padli yang dari tadi mengekoriku dari belakang mula melajukan langkah untuk jalan beriringan.
'Ermm, ada jugak jantan ni malam ni....' getus hati kecilku.
'Beb ko ada banyak kerja ke lepas ni?' Tanya Padli dengan nada yang sedikit teruja..
'Ada nak buat kerja sekolah..., kenapa?' balasku semula...
'Jom lepak kat padang, aku bosan la.. aku gaduh lagi dengan bapak aku...' sambungnya lagi...
Aku tak dapat menolak pelawaan sebegini. Aktiviti melepak dengan mangkuk sekor ni memang susah nak di tolak. Padli memang selalu mempunyai masalah dengan bapaknya. Bapaknya ada sedikit panas baran. Sama la jugak dengan dia.. 'like father like son' bak kata omputih. Tapi setiap kali dia ada masalah dengan bapak dia aku jarang menolak untuk membantu. Sekurang-kurangnya mendengar apa yang dia nak luahkan. Biasa la sejahanam-jahanam kami, perasaan sentimental tu tetap ada sebagai pelengkap naluri kemanusiaan. Dan seperti malam-malam terdahulu, kerja sekolah tu nyata tinggal angan-angan. Apa ada hal, esok kawan-kawan boleh tolong siapkan.. Aku tanpa berfikir panjang terus menukar simpang menuju ke taman permainan yang agak jauh dari lorong rumah kami. Bukan apa, nak jauh dari pandangan mak bapak sebab sambil melepak dan berborak nanti boleh hisap rokok tanpa rasa sebarang gangguan dan was-was risau mak abah nampak. Tambahan pulak taman permainan tu agak gelap dan jarang ada orang lalu lalang.

Sambil melayan perasaan member nan sekor ni, fikiran aku pon melayang memikirkan betapa sepatutnya aku bersyukur sebab bapak aku tidak seperti bapak si Padli ni. Sifat lembut dan penyabar abah aku membuatkan aku sedikit rasa bersalah dengan tindakan, sikap dan gerak-geri aku selama ni. Mana tidaknya, kami bukanlah dari kalangan keluarga yang kaya, yang mudah mendapat segala-galanya dengan hanya menggunakan kata-kata. Setidak-tidaknya abah aku terpaksa bekerja hampir 12 jam sehari untuk menyara kami sekeluarga. Mak aku dah lama berhenti kerja sejak kami berpindah ke Shah Alam. 'Ah lantak la malas aku nak layan perasaan.. ' lekeh hatiku. Sambil berbual, diam tak diam jam dah menunjukkan pukul 22:30 mlm. Aku dan Padli sudah mula terasa lapar dan ingin pulang ke rumah. Itu la bak kata orang-orang tua, tinggi mana pon terbangnya si burung kalau nak makan turun ke tanah juga. Begitulah aku dan Padli. Semarah-marah mana dengan mak bapak, bila lapar balik rumah jugak.... tak der pulak aku dengar atau pon bertindak sendiri memboikot nak makan kat kedai mamak.
Mana nak datang duit beb.. sekolah lagi.

Sesampai sahaja di rumah, mak aku dah membebel sebab aku lambat balik. Biasa la orang tua, risaunya yang bukan-bukan. Lebih-lebih di Shah Alam ni tiada siapa yang boleh mengadu kat mak aku kalau ternampak aku buat benda-benda tak senonoh kat luar. Tak macam kat Puchong, pantang buat silap sikit, ada jer tukang adu kat mak bapak aku. Tau-tau balik dah kena sedas dua samada dengan tali pinggang, mesti getah paip. Dan dengan cara itu jugak, hati aku ada kalanya lembut dengan nasihat mak dan abah aku. Selesai makan malam aku pun membelek buku-buku kerja sekolah siang tadi. Sedang dok belek-belek tu, tergelincir sampul berisi surat dan gambar dari Fariza, anak dara pak cik Mail yang dah mula mencuri hati sang jantan jalanan ini. Namun hati aku tidak tertumpu pada perasaan lemau tu. Hati aku lebih tertumpu kepada memikirkan masa depan dan sekali sekala di ganggu dengan wajah si Fariza. Sudahnya aku tutup suis lampu terus tidur. Kerja sekolah entah kemana, berangan pon hangat-hangat kepak ayam jer. Malas aku nak layan perasaan sual ni. Tak membantu langsung mencipta aura alpha mahupun aura beta buat memotivasi diri. Layan tidur lagi best...

Cerita 8 – Jantan Macho ( tak seberapa )

Monday, December 28, 2009

Tepat jam 14 :00 petang, waktu persekolahan tamat tanpa sebarang aktiviti kokurikulum tambahan buat pelajar SMS 18. Aku melangkah keluar dari kelas dengan perasaan yang bercampur baur. Samada nak suka dan bergembira atau cool dengan perasaan ala-ala macho selamba.. Surat beserta gambar awek tingkatan 3 yang aku usha minggu lepas tersimpan kemas di dalam beg. Perghhh… mudah sungguh, tak mencabar langsung nak ngorat awek nan sorang nie. Pada aku dia taklah secantik mana jika nak di bandingkan dengan Sharini, tapi cukup buat aku tak terasa sakit masa kena sebat depan astaka sewaktu perhimpunan pagi tadi. Almaklumlah jantan jalanan macam aku, mana pernah tak kena belasah dengan cikgu. Daripada kecik sampai dah agak-agak besar durian D24 ni pon aku masih maintain dengan perangai ala-ala selamba aku. Sambil kena sebat pagi tadi aku tengok muka dia, sual tol Cikgu Musidi. Macam tak ada baris lain nak sebat aku, pilihlah baris kelas lain. Nasib baik tak terasa sakit sangat tadi sebab sambil kena sebat, sambil usha awek yang bernama Fazira. Cute budak nie, cuma kekurangan, dia pandai sikit dari aku. Dah tentu-tentu aku pandai banyak sebab aku tua setahun dari dia.

Sambil melangkah pulang ke rumah, aku sempat berselisih sambil menyapa gadis sunti yang dah buat aku kebal dengan rotan Cikgu Mursidi.
‘ Sakit kena sebat tadi.. ?’, soalnya sambil tersenyum…
‘ Macam kena sebat dengan lidi jer..’, jawabku selamba..
‘ Terima kasih sebab sudi dan percaya kat saya simpan gambar awak..’. sambungku lagi… Dia tersenyum, dan senyuman yang agak manis tu memang boleh buat aku buat pumping 50 kali tanpa henti. Aku berjalan pulang ke rumah beriringan dengan Fariza sambil berbual. Tanpa aku sedari rupanya aku dah salah jalan sebab rumah aku berlainan simpang dan secara tak sengaja aku menghala terus ke rumah Fariza… - sual- Angau dah aku ni… getus hati kecil aku..Tak pasal-pasal aku menapak balik tengah panas buta dengan kadar perjalanan yang agak jauh sorang-sorang. Tapi itu semua dugaan..

Sampai sahaja di rumah, mak dah menyiapkan makanan tengah hari untuk aku. Adik aku yang ‘tengah’ dah ke sekolah. Tinggal adik yang bongsu dan adik sepupu aku yang mak aku asuh dari berusia lepas pantang. Lepas makan tengah hari aku bersiap-siap untuk bersolat Zuhur. Letih rasa badan.. selesai solat, aku melabuhkan punggung ke katil. Sengal sebatan pagi tadi beransur pulih. Itulah gara-gara merokok di tempat awam. Lebih-lebih lagi di sekolah. Aku sebenarnya mula belajar merokok seawal usia 13 tahun ketika bersama-sama geng jahanam di Puchong. Boy antara geng-geng yang sama batch dengan aku belajar merokok. Dan kebiasaan itu aku sambung setelah bertemu semula Padli di sini. Namun aku tidaklah ketagih mana, Cuma isap main-main sekadar mencabar kesabaran Cikgu Mursidi yang aku dah mula tak berkenan sebab reject aku dari team bola tempoh hari. Kerek mamat ni.. Namun aku tak gusar sangat setakat tak main dengan school team. Tak mencabar mana. Lebih baik aku jaga kaki dan berusaha keras dengan team aku sendiri. Team yang agak di geruni juga sebenarnya sebab kalau buat friendly game kitorang jarang kalah. Lagipon hujung minggu ni liga bawah 18 tahun Taman Sri Muda dah bermula. Sekurang-kurangnya aku dapat bermain dengan orang yang lebih tua dari aku.

Tanpa aku sedari dalam baring-baring mengenangkan sakit sebatan tadi, aku terlena seketika.
Seketika?? Jam 6 petang baru aku tersedar, itupon Padli gegar aku dalam bilik.. Selesai solat Asar, aku bersiap ke padang, Padli dah buat muka tabib tak dapat akar kayu. Aku melangkah longlai mencapai basikal dan mengayuh menghala ke padang awam. Dalam kayuhan perlahan itu, aku merasakan ada sesuatu yang belum lengkap dan belum aku lakukan. Aku terus melayan fikiran dan bertanya pada diriku sendiri, pekebenda la yang aku belom buat lagi..?? Alamak ! aku terlupa menalipon di Fariza.. alah lantaklah bukan janji pon dengan dia tadi.. Aku terus meneruskan kayuhan sampai ke padang. Geng-geng yang lain dah bersiap untuk meneruskan latihan.. Aku masih lagi terhegeh-hegeh memakai stoking dan mengenakan kasut. Sayang pulak rasanya aku nak memijak padang yang gersang ni dengan kasut yang agak-agak berharga 3 minggu belanja persekolahan ni.

Sambil dok mengalamun tu, aku terpandang lenggok yang amat-amat aku cam. Sah makcik ni baru keluar dari kedai. Susuk tubuh Fariza yang ala-ala heroin filem Sepet ni dah membuatkan aku malas nak berlari.. Aku melengah-lengahkan masa masuk ke padang. Aku berpura-pura memanaskan badan dengan harapan Fariza akan melalui lorong yang hampir dengan padang awam nie. Dan ramalan aku memang benar belaka, dia melalui lorong yang hampir dengan aku. Dia tersenyum bila nampak aku dari jauh. Perghhhh.. luluh hati aku tengok senyuman mak cik nie. Rasa nak balik dan suruh mak bapak aku masuk meminang dia. Gila ??? Nak bagi makan apa anak dara orang ni nanti ?? Bentak hati aku menerjah ke saraf otak seterusnya mematikan langkah aku pulang ke rumah meneruskan hasrat. Fariza berhenti dan bertanya kenapa aku tak call dia petang tadi. Aku lemah menjawab .. ‘ Sorry.. saya tengah buat homework lepas tu terlupa..’ Dia tersenyum dan aku terus menghampiri dan terus menemaninya melalui lorong di padang awam tu. Dia tak banyak bercakap, namun yang aku pasti dia tak marah, cuma pesanan dia sebelum berlalu membuatkan aku seperti nak berenang dalam parit di hujung lorong padang awam ni. Fariza sempat berbisik di telinga aku sebelum berlalu,.. ‘Lain kali jangan lupa lagi, Iza rindu nak dengar suara awak…’ perghh rasa nak gugur jantung den ! Dan tanpa disedari aku dah pon mempunyai bunga-bunga menjadi jantan jalanan jahanam. Dah pandai menipu dengan selamba !

Cerita 7 - 16 Tahun - Jantan Muda


Julai 1-1995

Kriiiiiiiiingggggggggggggggggggggggg! Kenyaringan bunyi jam loceng membuatkan aku rasa sual semacam. Pagi Ahad yang tenang sekali lagi di ganggu oleh bunyi jam yang sepatutnya tak berbunyi seperti hari-hari persekolahan biasa. Aku termenung seketika, memikirkan kenapa jam bongok ni berbunyi di pagi hari cuti ni… Ya Allah… ! Aku ada training bola hari ni..! Jerkah suara hati yang dah mula mencetuskan detik kelam kabut diri buat seketika. Dengan pantas aku menukar pakaian dan berlari ke bilik air membersihkan anggota oral dan membasuh muka yang tak berapa nak macho.

Aku mencapai basikal dan meluru ke padang awam Seksyen 18 Shah Alam. Aku kebingungan seketika.. Tiada siapa yang sedang membuat regangan otot, tiada siapa yang sedang ber ‘jogging’, dan tiada seorang umat pon di padang berkenaan. Bola pun tak ada! Aku menongkat basikal mountaine bike hadiah dari mak aku selepas lulus tak berapa cemerlang dalam keputusan PMR yang lepas. Basikal idaman jejaka Malaya zaman ini. Aku melepaskan beg kasut dan melabuhkan punggungku di bangku rehat di tepi padang. Cuaca begitu baik, matahari yang sudah mula bersinar sesekali membuatkan aku merintih bertanya diri sendiri kenapa aku sorang jer yang selalu datang awal bila ada latihan?? Aku terhayal seketika mengenang kembali zaman kanak-kanak aku di Puchong suatu ketika dulu. Aku mula terbayang kejernihan air sungai dekat ladang kelapa sawit dan ladang getah kat belakang rumah lama aku. Seronoknya, lebih-lebih lagi pada waktu-waktu begini geng-geng jahanam dah awal-awal lagi kejutkan aku kat rumah.. seperti biasa buat aktiviti lagho yang menyeronokkan sambil menyusahkan tuan punya kebun tembikai yang terletak di ladang kelapa sawit.

Diam tak diam, sudah hampir 3 tahun aku berpindah ke kawasan yang bertaraf bandaraya ni. Tak syok langsung! Aku hampir jadi kurang siuman di minggu pertama tinggal di kawasan ni. Kalau ikutkan perasaaan, aku sanggup tinggal di rumah lama di Puchong sorang-sorang. Masyarakat yang tak berapa nak sporting dan ala-ala sombong kuda.. Ntah apa yang diorang sombongkan pon aku tak tahu. Kalau di Puchong, semua orang kenal antara satu sama lain. Semua masalah dikongsi bersama baik sakit pening, kenduri kendara, nikah kahwin dan kematian semua sama-sama mengembeling tenaga menguruskan segala urusan kifayah. Tapi kat sini jauh sekali… pernah pada suatu malam arwah Wan aku sakit kuat. Ketika tu Wan bermalam di rumah aku kerana nak menemani kami sekeluarga sewaktu mula-mula berpindah ke sini. Semua ahli keluarga datang kerumah aku untuk melawat, maklumlah ketika itu arwah Wan aku dah lanjut usianya dan di serang dengan pelbagai penyakit. Jadi semua ahli keluarga berkumpul. Usianya masih panjang ketika itu dan serangan sakitnya beransur pulih keesokkan harinya. Aku tak sedih dengan sakit Wan aku tu, cuma terkilan dan rasa sakit hati bila salah sorang jiran bertanya kat mak aku.. “ Kak semalam riuh rendah rumah akak tu ada party ker??” Pala hotak hang! Getus hati aku.. Dia tak dengar ke orang tengah baca Yassin malam tadi?? Nak kata family aku ada bukak TV kuat-kuat tak jugak sebab semalaman kami sekeluarga baca Yassin sampai subuh. Aku pon pelik 3 hari, 3 malam aku memikirkan macam mana soalan bangang tu boleh keluar kat mulut makcik yang tinggal sebaris dengan kami.

Sedang aku dok sibuk mengelamun tiba-tiba kepala aku rasa seperti di baling dengan getah keras.. Bongok punya Padli.. sual nasib baik dia baling bola tu tak kuat, kalau tak, sarapan bangku batu la pagi-pagi Ahad mangkuk ni. ‘…. Apesal ko lambat ?? tanyaku dengan nada yang suam-suam kuku. Ali menongkat basikalnya sambil geng-geng jahanam zaman remajaku yang lain baru memasuki simpang ke padang menghala tempat kami berdua.

‘.. Aku pi sarapan dulu la dol!’ selamba jer muka dia.. Aku malas nak layan mangkuk sekor ni, dia ni ada angin sikit, tak boleh bergurau lebih-lebih kalau angin baran dia datang. Aku terus membuka beg kasut dan menyarung stoking pendek dan mengenakan kasut bola berjenama Adidas kesayangan aku. Geng-geng jahanam yang lain dah sampai dan terus bersiap untuk memulakan latihan. Minggu depan ada liga bolasepak bawah 18 tahun kat Taman Sri Muda. Kami selalunya sepakat berlatih kalau ada liga. Dan sebagai jantan jalanan jahanam, bola sepak adalah aktiviti kegemaran kami. Main bola dan tengok bola baik di stadium atau pun di kaca TV. Kalau pergi stadium tengok pasukan Selangor bermain, kami sanggup beramai-ramai kayuh basikal dan sanggup tak makan seminggu kat sekolah nak simpan duit kalau pasukan Selangor main kat Stadium Shah Alam.

Sesekali aku terasa ada baiknya aku tinggal di Shah Alam. Banyak perubahan yang aku dah lakukan sejak aku berpindah ke sini dan aku bersyukur aku masih lagi dapat bertemu dengan geng jahanam zaman kanak-kanak aku. Secara kebetulan Padli dan keluarganya berpindah ke Shah Alam dan dialah satu-satunya penyambung kejahanaman geng-geng yang dah berpecah entah kemana. Dan sejak aku melalui mimpi basah yang membawa kepada perubahan bentuk fizikal dan kemachoaan suara,…. Akhil Baligh..?? Aku secara tiba-tiba teringat akan seseorang yang membawa aku kepada mimpi basah yang menjadikan aku seorang dewasa.. Siapa gerangannya?? Sehingga sekarang aku masih terbayang-bayang bentuk badan dan kelangsingan tubuhnya.. Ermmm sual tol! Rambutnya yang panjang lurus, macam Sharini.. eh? Dah lama juga nama gadis ni tak keluar dari bibir aku. Ah lantaklah.. dia ntah kat mana-mana ntah, maklumlah orang bijak pandai ni mana ada nak sekolah kat kampung-kampung dah.. Malas aku nak ingat... Aku meneruskan latihan dengan geng-geng yang lain.. hari yang sedikit menyeronokkan seketika.. tapi lepas ni ntah apa aktiviti jahanam yang akan aku dan Padli buat masih belom pasti..

Cerita 6 - 10 tahun dah pandai bercinta - Harapan Pudar

Monday, September 7, 2009



Kehangatan matahari jam 11:00 pagi memang menyegat. Sungguhpun sekolah aku ni dikelilingi pokok buah-buahan dan ladang kelapa sawit, tapi belum cukup untuk menghalang sinaran matahari memancar depan cermin kelas 4 Biru. Aku seperti jantan jalanan lain memang tak fokus kat pembalajaran waktu2 puncak begini. Kepala selalunya menerawang jauh menikmati pemandangan indah sungai kat ladang kelapa sawit belakang rumah, keseronokkan mencuri buah tembikai cina ladang, keseronokkan 'gabra' bila dikejar babi hutan... , pergh hati meruntun inginkan cuti penggal persekolahan di awalkan. Tapi tiada maknanya semua itu... Pak Anwar baru saja di lantik menjadi Menteri Pelajaran.. selepas memperkenalkan penggunaan bahasa baku di semua sekolah, kali ini musim persekolahan juga di panjangkan sedikit berbanding tahun sebelumnya.. hatiku merengus syahdu..

Dalam rengusan yang tak berapa nak jadi itu, jiwa aku mula tertanya apakah jawapan surat yang aku serahkan semalam... Ya... surat semalam masih belum berjawab... Lamunanku terhenti buat seketika bagaikan lagu aris ariwatan. Tetapi tidak dipimpin oleh seseorang.. aku terkejut bunyi loceng 'sual' yang betul2 dekat dengan kelas aku.. memang sual.. tapi tak buleh nak marah sebab itu maknanya waktu rehat sudah pon bermula.. tapi aku merasa kurang mood untuk menyambung permainan 'polis entry' petang semalam. Almaklumlah nak kena kejar orang pulak.. mood nya agak berbeza jika di bandingkan perasaan ketika dikejar.. Osman, Padli dengan Adi Putra awal2 dah menunggu kat depan kelas aku. Adi Leman, Henry dan Boy juga sudah bersedia.. Aku??? Rasa macam nak balik rumah, salin baju dan meneroka keindahan ladang kelapa sawit seorang diri..

Sedang asyik berlari tanpa arah, Boy yang badannya ala-ala Afdlin Shauki dah mula buat muka malas.. bayang Padli, Osman dan Adi Putra tak kelihatan. Begitu juga dengan Henry dan Adi Leman.

' Boy jom la lepak kat sini Boy, bosan la pulak nak carik budak2 ni..' aku memberi idea..

' Jom, aku pon dah malas nak lari dah nie, bukan buleh kurus pon..' sambung Boy memberi perangsang.. Memang dah kebiasaan sikap jantan jalanan macam kitorang, pedulik apa dengan orang lain, janji kitorg tak susah.. main nak enjoy, agak2 kalau main tu buleh jadi tension baik kitorg jadi cikgu matematik jer.. rungut aku dan si Boy... memikirkan andai di marah oleh Henry kalau nampak kitorg lepak2 jer tak kejar si 'pencuri'..

Tiba-tiba si Boy menepuk2 rakus belakang aku.. Aku kaget! Kena sawan apa mangkuk ni?? getus hatiku.. Ooo rupa-rupanya dia ternampak Sharini sedang berjalan menuju ke tempat kami melepak. Aku cuba menenangkan diri.. Buat muka se 'cool' mungkin. Namun dalam hati tuhan saja yang tahu. Aku mula merasakan harapan yang tinggi menggunung agar suratku bebalas hampir pasti.. Aku menunggu dengan penuh sabar, buat-buat berbual dengan si Boy.. dia makin hampir.. melintasi depan aku dan Boy tanpa sebarang reaksi melainkan senyum manja yang bisa buat hatiku luluh.. namun, tiada apa-apa..

'Mangkok betol!' getus hatiku.. macam tak nak balas jer surat aku!!! bentak aku lagi..

'Ooooo! Dah pandai hantar surat...! Dah jadi mat bungaaaa...!!' gertak si Boy..

Alamak pecah lubang aku hari ni.. sual! Si Boy memang tak tahu yang aku dah memulakan langkah mengorat si Sharini.. dan dia memang tau perangai aku kalau bab2 budak pompuan ni memang tak der dalam kamus jantan jalanan macam kitorang.. tapi nak buat macam mana.. rasa hati tak buleh simpan2 beb!

Aku terus berlalu.. Boy mengekori sambil gelak-gelakkan aku.. Dalam hati berbakul-bakul aku menyumpah seranah si Boy.. Aku tau benda ni mesti jadi gempak punya bila Henry, Adi Leman, Padli, Osman dan Adi Putra tau.. Berbakul-bakul pulak aku dikutuk dan di sindir oleh geng-geng jahanam nie.. masakan tidak sebelum ni pon aku lah jantan yang banyak mengutuk diorang bila main balas2 surat ni.. tak macho la, perasan la, mat bunga la, bangla kedai fast food la, dan berbagai2 lagi tohmahan pernah aku lemparkan kat diorg.. Kali ni memang dah nasib aku.. reputasi aku mula suram.. Sudahnya aku jugak yang kena, surat tak di balas, rahsia pecah.. memang hari ni hari sual aku.. Aku terus berlalu.. dan aku takkan mengharap apa-apa lagi dari Sharini, paham-paham sendiri la..

Sejak tu, aku mula seperti biasa, tiada apa2 yang menarik di sekolah, keseronokkan pergi sekolah tu pon hanya bertahan 2 hari. Bila Sharini tak balas surat tu, aku kembali normal seperti jantan jalanan yang lain. Dan bermula dari hari tu jugak, satu sekolah agama tau aku syok kat Sharini. Macam biasa mulut 'longkang' si Boy la yang jadi punca.. adakalanya aku seolah-olah 'paranoia' untuk ke sekolah.. Sebabnya aku syok kat si Sharini tapi belum tentu dia syok kat aku.. Malu beb! Tapi biasa la, hidup kena selamba.. dan aku terus selamba macam biasa buat tak pedulik apa mangkuk2 lain cakap pasal aku. Namun aku merasakan masih ada harapan bila member Sharini yang aku panggil Kak Lin hantar surat kat aku suatu petang dalam minggu yang sama.. Aku tertarik dengan satu ayat dalam surat tu..,

... Rin cakap dia suka kat awak jugak, cuma dia segan dengan kakak dia, kalau ada masa nanti dia balas surat awak...

Aku terkejut yang ntah keberapa kali.. Namun aku padamkan niat untuk merasa gembira dengan surat tu.. sebabnya itu bukan Sharini yang bagi.. dan info tu jugak cuma penyampaian kawan baik dia, bukan dari mulut dia sendiri.. namun aku masih menyimpan harapan, cuma usaha itu terhenti di sini..

Cerita 5 - 10 tahun dah pandai bercinta - Angau 3.

Saturday, September 5, 2009

Selesai solat Asar, murid-murid tahun 4 akan berehat selama 20 minit. Memang sekejap, dan pada waktu inilah rakan-rakan seangkatan akan keluar bilik darjah macam latihan pencegahan kebakaran kat bangunan KLCC. Bertarabur lintang pukang, bukan apa.., nak cepat-cepat makan lepas tu boleh main 'polis entry' kat padang tepi kantin tu. Dan di masa-masa inilah aku, Boy dan Adi Leman akan menggunakan kecekapan yang ada untuk menunjukkan aksi hero ala-ala Gaban dan Ksatria Baja Hitam masa main nanti.

Tanpa membuang masa, selesai saja melantak karipap 2 biji dan air sirap sebungkus, aku dan geng-geng jahanam yang lain menyambung permainan 'polis entry' yang dah pun berlangsung selama tiga hari. Itu termasuk sesi di sekolah kebangsaan pagi tadi. Memang hebat kitorg zaman ni kalau bab main nih. Sambil berlari menjadi 'pencurik' aku sempat menyelamatkan diri ke kawasan yang si 'polis' tak boleh masuk. Si Boy juga begitu, namun di kawasan yang berbeza. Rakan-rakan jahanam yang lain sudahpun di tangkap dan menghabiskan sisa-sisa masa dengan mangacau budak perempuan main batu seremban sambil menanti aku dan si Boy menyelamatkan mereka. Aku mula megarahkan Boy keluar dan lari apabila melihat Padli, Osman dan Adi Putra menyorok dan mengepung tempat dia bersembunyi. Dan jika Boy berlari aku pasti dengan mudah dapat menyelamatkan geng-geng jahanam yang lain. Ini kerana top2 gun encik polis sedang berusaha menangkap si Boy.

Tanpa berlengah dan bertindak mengikut arahan, Boy lari keluar dari persembunyian manakala aku memulakan langkah untuk menyelamatkan ahli geng yang lain. Sedang aku berlari tiba-tiba aku terlihat wajah ayu yang selama sehari ni mengganggu perjalanan hidup jantan jahanam ini. Aku pun memperlahankan larian menoleh dengan macho ala-ala iklan Ding Dang dan cuba melambaikan tangan, Srassssssssssssssssssss! Padli pon sampai, dan dengan rakus memeluk aku yang dah hilang tumpuan terhadap permainan. Osman dan Adi Putra menjerit kegirangan kerana Padli berjaya menangkap aku dan Boy. Maknanya tiada yang lain, bermula esok kitorg pulak kena jadi polis. Bosan betul!

Geng-geng jahanam yang lain semua dah buat muka Rosnah Mat Aris dengan kelalaian dan kegagalan aku menyelematkan mereka. Ah! Pergi jahanam lah, main 'polis entry' pon nak 'emo'.. getus hatiku. Dan seperti biasa Boy dan Adi Leman tetap selamba dengan kekalahan. Tak sedikit pon emosi dengan sikap aku. Masakan tidak diorg dah masak dengan perangai degil aku. Kami berkawan dari kecil dan tak pernah pon bergaduh seingat aku.

Sedang geng-geng yang lain membincangkan strategi esok, aku bersandar di tepi dinding dan cuba-cuba meng skodeng si Sharini yang tengah tekun mendengar Ustazah Zairani mengajar. Dan di ketika inilah dia memandang aku secara terus sambil tersenyum dan mengetap bibir tanda malu dan marah-marah sayang, macam cerita Ali Setan la pulak adanya. Aku dah mula hilang pedoman. Hatiku dah mula gusar. Nafasku sekali lagi dah jadi macam atlet paralimpik. Rasa nak terbang rasanya.. Piapppp! Songkok Henry hinggap di kepala aku.

'Ko nak main ker tak nak ni???!! Mantol jer dari tadi!! bentak Henry dangan nada serius ala-ala gaya Sarjan Misai dalam cerita Gerak Khas.. Aku terus mencapai songkok Henry, buat-buat fokus dengan perancangannya dan sedang asyik berbincang loceng pon berbunyi menandakan kami kena masuk ke kelas dan menyambung matapelajaran Al-Quran.

Kami terus ke kolah air untuk mengambil wudhuk. Seperti biasa pelajar perempuan akan dipisahkan ke sebelah kanan manakala pelajar lelaki di sebelah kiri.. Sedang asyik kami mengambil wudhuk, tiba-tiba Asiah, salah seorang pelajar baru meminta aku menghulurkan gayong. Minah ni baru sebulan sekelas dengan kami. Boleh tahan lawa dan menjadi kegilaan kawan-kawan aku yang pandai. Salah seorangnya si Zulhelmi. Mamat ni pulak ala-ala perasan yang Asiah juga syok dengannya.

Belumpun sempat aku menghulurkan gayong kat Asiah, tiba-tiba Zulhelmi dengan pantas bak halilintar cuba juga menghulurkan bantuan tanpa disuruh, Kedebushhhhhh!!!!! Dia terjatuh kedalam kolah dengan jayanya.. semata-mata tak nak Asiah menerima gayong yang aku cuba hulurkan.. apalagi, memang kesukaan geng-geng jahanam la menggelakkan si Zul. Boy dah terduduk dan tersandar kat dinding sambil tak dapat menghentikan tawanya, begitu juga dengan Adi Leman dan Henry... masing-masing tak boleh tengok satu sama lain ketawa, maka ketawa itu akan bersambungan sampai keluar lelehan air mata. Aku??? bukan sifat aku menggelakkan orang yang dalam kesusahan. Aku menarik Zul naik ke atas. Setibanya Zul di atas dia lantas bersuara..' licin la kolah ni...' aku terus melepaskan hilai tawa yang tertahan dari tadi. Geng jahanam yang lain?? Jangan cerita la diorang punya gelak.. Asiah dan Izah rakannya terus belalu sambil gelak jugak dengan peristiwa tadi...

Selesai sahaja kelas Al-Quran, loceng pon berbunyi, kali ini menandakan kami dah boleh balik. Dan seperti mana biasa attitude budak-budak zaman aku memang tak beratur pon bila keluar kelas masa nak balik. Baratur itu cuma wayang di minggu pertama persekolahan. Minggu kedua dan seterusnya?? Macam kambing keluar kandang la adanya. Dan di kesempatan ini aku takkan lepaskan untuk memulakan langkah pertama mengorat si Sharini. Ayat-ayat power sempat aku tuliskan masa matapelajran Al-Quran tadi. Akanku serahkan surat perkenalan di dalam bas nanti.

Aku melangkah yakin menaiki tangga bas. Boy dan Adi Leman dah ada kat bangku paling belakang, port biasa kami dalam bas. Sambil melangkah perlahan dan sibuk memerhati di manakah duduknya kekasih hati, bas pun berlalu meninggalkan sekolah Rendah Agama Bt. 13 Puchong. Ya.. aku dah nampak gadis yang mencuit hatiku sepanjang hari ni. Dengan tidak berlengah aku pun terus ke bangkunya dan meletakkan surat tadi di lengan Sharini. Dia tergamam dan cuba menggenggam surat itu padu seolah-olah menyorokkannya dari pandangan kakaknya yang duduk di sebelah. Ah! Pedulik hapa aku kakak dia ker abah dia ker..! Aku suka kat dia, yang penting dia yang balas surat tu nanti. Aku rasa lega... aku mengharap ada balasan darinya esok bila di sekolah kebangsaan nanti. Harap-harap esok bas Cik Khaliid tak rosak, kalau rosak pon aku suruh jugak bapak aku hantar ke sekolah. Kalau dia tak nak hantar jugak, aku pakat jalan kaki bertiga dengan Boy dan adi Leman.. Ya itu memang pasti..

Cerita 4 - 10 tahun dah pandai bercinta - Angau 2

Keadaan panas terik di luar bilik darjah sekolah agama membuatkan aku mula rasa mengantuk, masakan tidak, seawal 6 pagi aku sudah bangun untuk bersiap ke sekolah. Sehingga jam 4 petang ini aku masih belum merasa tidur barang selelap dua. Menjelang ke pukul 6 petang waktu pulang ke rumah, kami semua dah lembik macam kambing kena mandi hari-hari.

Sedang fikiran aku asyik menerawang keluar tingkap kayu bilik darjah, mata romeoku sudah mula lemau inginkan lena. Perlahan-lahan aku melayan fikiran yang memang tak fokus langsung dekat apa yang ustaz tengah bebelkan. Seperti biasa subjek Tajwid memang melemahkan saraf otakku di kala ini. Jika diikutkan hati mahu saja aku menyusup keluar perlahan-lahan dan menuju ke masjid bersebelahan dengan sekolah agamaku ini. Ingin rasanya aku 'on' kan kipas dan tidur sepuas-puasnya di dalam masjid berdindingkan batu yang sejuk itu.

Namun apakan daya, belum habis aku menerawang jauh, sebiji 'liquid paper' melayang hampir hinggap ke kepalaku. Nasib baik aku sempat mengelak, bagaikan aksi Gaban menentang musuh. Aku pasti 'liquid paper' tadi dihenjut oleh ustaz Mizi yang hangin satu badan bila tengok bebudak kelas aku tidur time dia mengajar. Dan aku jugak begitu pasti 'liquid paper' itu tidak ditujukan kepada aku. Kepada siapa?? Siapa lagi kalau bukan 2 orang sahabat karib aku, si Boy dengan Adi Leman. Dah lah duduk sebelah menyebelah, dua-dua boleh layan tido pulak tu, berseling-selingan berdengkur. Sual tol! Korang memang selamba... dan nasib baik aku tak jadi mangsa.. kalau kena kepala tadi fuuuuhhh!!

Boy dengan Adi Leman dengan selamba menyambung tidurnya selepas di tarik rambut halus disebelah telinga, zaman aku kitorg panggil 'side burn'. Kalau kena tarik side burn ni beb perghhhh pedihnya bukan kepalang. Namun dah lumrah jantan jalanan, buat apa pon kita orang selamba jer lagi. Aku terus melayan mamai sambil Ustaz Mizi menyambung pengajaran. Dah tak larat dah nak marah budak-budak spesis aku dengan kawan-kawan aku.. janji jangan memekak time dia mengajar sudah. Yang aku amat pasti di minit-minit terakhir ni, azan asar akan berkumandang. Kami semua akan beratur beramai-ramai menuju ke masjid sebelah untuk solat. Masa ni murid-murid sekolah agama tak seramai mana. Jadi bila solat kena solat jemaah semua satu sekolah.

Aku sudah mula berdebar, murid-murid darjah 6 sudah mula beratur di luar, di ikuti oleh murid darjah 5 dan seterusnya murid darjah 4. Sedang aku asyik melihat murid-murid darjah 6 beratur macam anak itik menuju ke masjid, mataku terarah ke satu entiti yang sering membuatkan jantung aku berdegup kencang macam atlit paralimpik. Siapa lagi kalau bukan 'mak we' yang bernama Sharini. Aku menggelengkan kepala, rasanya ingin saja aku bersunat sekarang, cepat-cepat baik, dan terus melamar dia jadi isteri aku.. Jauh masa depan yang aku fikirkan untuk hidup bersama.. gila!

Dan seperti yang tuhan tentukan, segala persoalan yang bermain difikiran ku sejak pagi tadi terjawab menjelang petang. Sharini rupanya tua setahun dariku. Alah apa ada pada usia, yang penting kematangan dan jiwa romeo itu perlu ada buat jantan jalanan macam aku nie.. Yang selebihnya terserah kepada yang empunya diri untuk menerima. Dari lengguk jalan dan sopan yang ada dalam diri Sharini, aku rasa dia nie stock budak pandai-pandai, dari jauh aku dapat melihat golongan-golongan yang ada harapan melangkahkan kaki ke Sekolah Menengah Agama Tinggi Hyshamuddin Klang melangkah penuh gigih menuju ke masjid. Bila tiba giliran budak2 kelas aku, ermm hampeh! Suruh pergi sembahyang macam suruh pergi berperang..

Cerita 3 - 10 tahun dah pandai bercinta - Angau...

Friday, September 4, 2009

Deruman enjin bas pak cik Khalid berlalu pergi meninggalkan padang Sekolah Kebangsaan Puchong. Boy yang dari tadi merungut bengang, sebab aku lambat berkemas menyebabkan kami terpaksa berdiri sambil menggalas beg yang berat mengalahkan askar nak masuk hutan. Fikiranku masih lagi melayang mengingatkan siapakah gerangan 'mak we' yang muka saling tak tumpah macam Ramona Rahman tadi.. Berbagai bentuk soalan subjektif yang berlegar di kepalaku.. Siapa nama dia? Tinggal kat mana?? Darjah berapakah dia? Kat mana kelas dia? Dia sekolah agama tak agaknya?? Terus hatiku menguntum senyuman, dengan harapan akan bertemu semula di sekolah agama petang nanti.. itupun kalau dia sekolah agama.. hatiku runsing kembali..

Sesampai sahaja di depan lorong rumahku, bas sekolah diberhentikan. Boy sudahpun turun dahulu kerana bas melalui lorong rumahnya terlebih dahulu sebelum rumahku.. Tanpa membuang masa aku terus turun. Ingin benar rasanya aku terus ke sekolah agama tanpa perlu mandi, makan dan tukar pakaian andainya dapat bertemu dengan 'mak we' tadi di sekolah agama nanti. Baru sahaja aku turun dari tanggga bas dan menapak selangkah dua, mataku tiba-tiba tercuri memandang ke arah tingkap bas sekolah yang tidak tertutup. Aku seakan-akan terpukau melihat wajah yang membuatkan aku hilang tumpuan hidup seketika sewaktu disekolah tadi. Langkahku terhenti sambil bas perlahan-lahan meninggalkan aku. Ya, dialah yang aku lihat disekolah tadi.. Yang membuatkan aku lebih teruja macam cerita Fear Factor ialah dia juga memandang aku! Terenyum sambil berbual-bual dengan seseorang disebelahnya..

Aku terpaku...

' chesss! satu bas dengan aku rupanya.. macama mana boleh tak perasan selama ni???' getus hatiku... aku angin satu badan dengan kelembapan pancainderaku selama ni. Bagaimana 'mak we' secantik itu aku boleh tak nampak?? Aku gusar sambil mempercepatkan langkahku untuk sampai ke rumah Wan Jenab.

Di rumah Wan Jenab aku terus menanggalkan pakaian sekolahku dan bergegas ke bilik air untuk mandi. Selesai mandi aku ke bilik mengenakan pakaian sekolah agama, segak dengan baju melayu warna putih dan sampin berwarna hijau. Yoy, cucu Wan Jenab yang muda setahun dariku sedang makan di meja, manakala aku bersiap untuk kesekolah agama. Sekolah 2 sesi memang memenatkan. Yoy yang dari tadi fokus menyuap makanan ke dalam mulut tiba-tiba terpaku melihatkan aku sudah berada di meja makan. Masa kan tidak, kerana waktu begini aku akan memperlahankan rentak untuk melambat-lambatkan proses ke sekolah agama dengan harapan bas cik khalid akan meninggalkanku kerana lambat, jadi aku tak perlu ke sekolah.

Berlainan pula sikap aku hari ni. Wan Jenab yang sedang asyik melipat kain juga mengerut dahi macam peserta Jangan Lupa Lirik! Kehairanan dengan tingkahku hari ni. Berlainan benar rasa mereka. Aahh! semua tu takku endahkan. Yang penting aku tak tertinggal bas kesekolah agama. Itu yang lebih penting..Selesai makan aku bersalam dengan Wan Jenab dan Tok Kijan suaminya untuk ke sekolah. Hatiku meronta-ronta untuk sampai ke sekolah agama secepat yang mungkin kerana di situ akan ada jawapan yang aku runsingkan sejak sejam lebih yang lepas.

13:50 ptg... Aku sudah terconggok di hadapan tangga rumah Cik Leman. Di sinilah aku dan rakan-rakan yang bersekolah agama akan menunggu bas Cik Khalid untuk ke sekolah agama. Adi anak Cik Leman adalah rakan sekelasku dengan Boy.. Dia masih lagi makan bersuap walaupun sudah beusia 10 tahun, begitulah manjanya dia dengan mak dia. Jeles pulak aku.. Cik Som mak Adi tersenyum sambil memandang ke arahku.. Aku faham makna senyumannya.. pasti akan ada soalan yang akan membuatkan aku kelu untuk di jawab. Namun keadaan tidak begitu. Cik Som hanya bertanya samada aku sempat makan ker tidak, walaupun begitu, itu sudah memadai buat aku rasa tersindir. Perasaan aku agaknya.

Bas sekolah tiba pada waktunya dan terus berlalu meninggalkan kawasan Kampung Pasir menuju ke Puchong Jln Klang. Di situlah aku bersekolah agama. Sekolah yang terletak di kawasan Kampung Kenangan. Sebelum sampai ke sekolah, Pak Cik Khalid akan mengambil budak-budak lain yang sehaluan dengan perjalanan kami ke sekolah agama. Aku merasakan perjalanan bas hari ini agak perlahan amat. Tidak seperti hari2 biasa. Setibanya di selekoh Kampung Sri Puchong, aku berdebar-debar. Entah kenapa agaknya. Bas sekolah terus membelok ke kiri dan masuk ke Lorong 3. Aku terlihat 3 budak perempuan berbaju sekolah agama serta bertudung menaiki bas. Salah seorangnya aku rasa adalah 'mak we' yang aku nampak kat sekolah kebangsaan tadi. Eh' ye ker?? Aku kurang pasti.. kerana 'mak we' yang aku nampak tadi tidak bertudung, tapi bila dah bertudung, aku jadi kaget. Takut salah orang. Namun jantungku tetap berdegup kencang. Sama laju dengan bunyi si Boy ni berdengkur. Aku pasti dia akan melintasi tempat dudukku. Yess! Memang benar bagai di jangka, dia lah jodoh yang aku nampak di sekolah kebangsaan tadi.

Buat menambah perisa gelora di hati, dia betul-betul terpaksa berdiri di sebelah aku sebab kerusi dah penuh. Bak kata pepatah, kalau jodoh tak kemana, hampir 90% soalanku tadi sudah terjawab. Dari tanda nama yang di sisipkan di tudung, aku cuba mengejanya satu persatu. Shim, Ro, Ya, Nun, Ya.. -Sharini! Indah sungguh namamu.. Seindah wajah yang sering mengisi slot filem-filem Melayu zaman itu. Secara tidak langsung tuhan sudahpun memberi berbagai jawapan kepada soalan yang menjurus kepada dia. Cuma yang aku belum tahu, dia darjah berapa? Kalau aku tau dia kelas mana, sudah tentu aku akan tau juga berapa umurnya.. Ya masanya akan tiba nanti.. mungkin situasi kebetulan seperti ini.

Sambil Sharini berdiri dan mengendong beg yang tak seberat beg sekolah kebangsaan tu, aku dengan spontan dan tak berapa nak macho terus berdiri mempelawa dia duduk di bangkuku. Dia senyum dan menolak dengan manja. Alamak si Boy pulak kat kerusi sebelah, dengan irama dengkur yang boleh didengar selang 3 kerusi ditambah pulak dengan air liur basi yang dah membasahi baju putih sekolah agama tu, aku pasti penolakkan itu bukan disebabkan aku.

Aku terus berdiri di sebelahnya. Sharini memanggil kakaknya untuk duduk di bangku yang aku sediakan untuk puteri yang sudah mengisi kekosongan di hati. Dengan selamba kakaknya terus duduk tanpa memperdulikan si Boy yang dah sampai kat Danau Kota tu. Bas berlalu pergi melintasi jambatan Sungai Klang di Puchong. Aku terus berdebar.., bertanya akan masih adakah waktu-waktu seperti ini esok?? Tak ingin rasanya aku turun dari bas ketika ini. Biarlah bas ini pusing 5 round lagi jambatan Sungai Klang asalkan aku dapat merasai detik ini barang sedikit lama. Malangnya masa itu benar cemburu, dan aku mula rasa Cik Kalid pon cemburu. Tiba-tiba aku rasa bas yang tadinya perlahan bergerak agak laju dari biasa. Kini bas sudah sampai ke destinasi. Sharini dan kakaknya turun dan terus beratur sebelum masuk ke kelas. Begitu juga aku dan yang lain. Selesai doa dibaca kami pon meneruskan usaha untuk menjadi insan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.......

Cerita 2 - 10 tahun dah pandai bercinta - Pandang Pertama

1989 lagi... - Sedang aku menyusun buku teks pinjaman untuk subjek B.M yang setebal sabun cap kapak, tiba-tiba segumpal kertas yang sudah dikeronyok berbentuk bola sebesar bola tenis hinggap di kepalaku..

' woi!' jeritku terkejut sambil mataku liar mencari siapa gerangan yang beraksi kurang sopan tatkala aku khusyuk menyusun buku SPBT tadi...

Nun dihujung kelas seorang rakan sekelasku bernama Azrol sudah mengangkat-ngangkat keningnya mengajak aku bermain bola di dalam kelas.. Tanpa berlengah kutinggalkan buku-buku tadi diatas meja, antara perkara yang paling aku suka.. main dalam kelas.. yess.. itulah yang selalu membuatkan aku berdiri sepanjang hari sambil berdiri tinggi dari orang lain sebab kena berdiri atas bangku.. Dan disebabkan aktiviti2 sebegitulah aku sering kena ligan bila balik mengaji sebab cikgu yang duduk belakang rumah tu dah sampaikan berita gembira tersebut kat mak bapak aku...

Tapi nak buat macam mana.. itulah naluri jantan jalanan yang tak boleh ditahan-tahan. Main dalam kelas sambil usik-usik rambut tocang budak-budak perempuan yang poyo-poyo dalam kelas.. boleh jalan la diorang. Ingat mengadu kat cikgu pasal aku dengan Azrol tu best sangat ker?? Baik join wanita Umno buat aktiviti kat balairaya kampung lagi bagus.. ada gak faedah untuk diorang.. senang belajar masak, menjahit, kemas balairaya.. esok lusa bila kawin kan senang..

Nak buat macam mana jugak.. itulah naluri budak-budak perempuan zaman sekolah aku.. tak rock langsung! Tak abis-abis nak jaga tepi kain orang, macam mak-mak diorg jugak time beli ikan kat Thambi yang selalu jual ikan pagi-pagi kat area rumah aku..

Sedang aku berdiri di atas bangku sambil menjunjung buku SPBT yang terlupa nak disusun tadi, aku terlihat satu kelibat yang amat-amat jarang lalu di depan kelas aku, cuma sejak 2-3 minggu ni dia selalu melintas sambil mendukung buku2 latihan budak2 kelasnya untuk dihantar ke bilik guru. Maklumlah kelas aku waktu tu betul2 bersebelahan dengan bilik guru, memang macam mana tidak, dia mesti kena melintas depan kelas aku.. Kalau dulu masa darjah 3, memang susah nak nampak kot sebab kelas aku tahun lepas kat hujung tanjung.. kena melintas padang sekolah dulu baru sampai. Kalau cikgu yang mengandung kena ajar kitorg, alamat waktu dah habis setengah baru dia sampai.. tu faktor jugak tu kenapa aku tak pandai..

Sambil dia melintasi kelas aku tadi, aku perasan dia sempat mengerling ke arahku yang tengah kepenatan berdiri. Dari alis mata yang berwarna coklat, rambut yang lurus, fizikal yang tinggi, dan lemah lembut bila berjalan tu, aku pasti! Inilah jodohku, biarpun waktu itu aku belum lagi menunaikan tanggungjawab untuk jadi dewasa, belum lagi berkhatan. Tak dapat aku bayangkan waktu tu, biarlah aku berdiri sepanjang hari asalkan dia melintas depan kelas aku 5 minit sekali, aku sanggup..

13:15 - Kriiiiiinggggggggg! Kedengaran nyaring bunyi loceng sekolah yang terletak betul2 sebelah pintu kelas aku. Berakhir sudah azab aku berdiri hari ni.. keluh hatiku.... Sambil kepala otak aku yang tak berapa nak pandai ni masih lagi berlegar-legar memikirkan siapakah gerangan si cantik manis yang sejak akhir2 ni kerap melintas di depan kelasku, muka ala-ala Ramona Rahman, heroin cerita melayu tahun 80-an.. Aku dah mula angau... hatiku gelisah dan meronta-meronta ingin tahu sekurang-kurangnya nama dia.. cukuplah buat bahan berangan malam nanti sebelum tidur.. Ah.. sudah.. melarat dah aku ni..

Azrol dah mula siap mengangkat beg sekolah yang berat mengalahkan isi batu bata adanya. Aku masih lagi duduk di kerusi bukan lagi kerana penat tapi memikirkan macam mana nak tau nama budak yang dah berjaya mencuit hati si jantan jalanan jahanam ini.

' eh Boy.., kau perasan tak budak pompuan yang lalu tadi masa kita kena berdiri tadi...??' tanyaku spontan macam aksi Din Beramboi dan Zizan dalam cerita 3,2, 1 Spontan!

' ah sudah, tanya pasal pompuan pulak dah.., kang Cik Khalid tinggalkan kita karang, cepat la.. kang kena berdiri dalam bas!!!' herdik Azrol yang juga sinonim dengan panggilan 'Boy'..

Aku terus bersiap dan menggendong beg yang sama berat dengan beg Boy tadi.. Bagitulah! Macam mana budak2 zaman aku nak pandai, sampai jer rumah memang dah tak larat nak 'revise' apa yg di belajar kat sekolah tadi, kepenatan bawak buku teks gamaknya..


'

Cerita 1 - 10 tahun dah pandai bercinta....

1989 - Jam menunjukkan pukul 06:30 pagi. Dengan longlai aku menyarungkan kasut kain beralas getah yang berwarna putih ke kaki dengan penuh longlai.. masa kan tidak, cuti hujung minggu yang hanya 2 hari tidak dapat aku nikmati dengan sepoya-poyanya.., penuh dengan aktiviti akademik yang aku sendiri tak tahu apa tujuannya. Musim persekolahan baru saja bermula 3 minggu..

Aku menyusuri lorong yang agak suram cahayanya, ibuku sudah bersiap menyediakan pakaian sekolah agama berwarna putih kemas dengan sampin hijau, rapi tesangkut di penyangkut baju. Baju itu akan dihantar ke rumah Wan Jenab, seorang nenek yang aku dah anggap macam nenek aku sendiri. Dialah yang akan menyiapkan aku setiap kali untuk ke sekolah agama petang nanti sebab mak bapak aku bekerja. Dialah yang akan mengasuh aku setiap kali mak abah aku sibuk.

Dari jauh kedengaran deruman enjin bas Pak Cik Khalid menuju ke lorong rumahku.. rakan-rakan yang lain semua sudah menunggu di hujung simpang.. menungu bas yang setiap hari aku doakan rosak di tengah jalan, jadi bila dah rosak aku tak payah pergi sekolah.. itulah doaku setiap pagi.. sebab tu susah nak pandai..

Setiap pagi itulah rutin aku setiap hari, pagi ke sekolah kebangsaan, sekolah di mana aku diajar jadi sekular, dan kemudian petang nanti aku ke sekolah agama, sekolah dimana aku diajar untuk jadi manusia yang sepatutnya patuh pada ajaran Islam. Bila malam aku akan ke rumah jiran sebelah untuk mengaji. Balik mengaji, buat kerja sekolah, lepas tu baru la boleh tengok TV. Astro?? Sorry beb, masa ni TV yang ada kat rumah pon stock2 kena lempang dulu baru gambar senonoh sikit. Kalau tak, pakat ramai-ramai dengar suara dengan nampak bayang2 orang jer.. kena pulak kalau musim orang pergi Mekah menunaikan fardhu haji, area rumah aku ni memang tempat laluan kapal terbang, rendah pulak tu sebab pilot tunggu isyarat untuk landing di teminal Subang... sementara tunggu isyarat tu pilot suka la berlegar-legar kat ruang udara kawasan Puchong nie.. menyumpah kalau tengah tengok cerita Airwolf ker, McGyver ker.. coverage channel TV akan jadi lintang pukang.. sual tol!

Begitulah dilema hidup aku dalam tempoh 3 minggu pertama persekolahan di darjah 4 Biru. Penuh dengan kebosanan buat jantan jalanan macam aku nie..