Cerita 9 – Jantan Dilema

Wednesday, December 30, 2009

Jam di dinding menunjukkan pukul 19:30 malam. Aku mempersiapkan diri bersedia untuk ke masjid di hujung simpang. Aku jarang solat bersendiri pada waktu Maghrib. Terasa seronok berjemaah di masjid yang terletak berhadapan simpang masuk ke lorong rumahku. Selesai berwuduk, aku menyusun langkah ke rumah Allah menjadi tetamunya walaupun sekali sehari. Di masjid, imam sudahpon bersedia qiam, tanda tawadhuk dan cuba fokus untuk khusyuk dalam solat. Takbir pertama di angkat dan terdengar nyaring suara imam membacakan surah Al-Fatihah dengan lagu yang cukup ringkas tetapi bisa meruntun hati jantan jalanan ini. Tajwid yang jelas dan nyata cukup dengan idgham dan harakat yang sempurna.

Selesai solat aku pulang ke rumah dengan angan-angan untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberikan siang tadi. Sesampai sahaja di simpang masuk ke lorong rumah, Padli yang dari tadi mengekoriku dari belakang mula melajukan langkah untuk jalan beriringan.
'Ermm, ada jugak jantan ni malam ni....' getus hati kecilku.
'Beb ko ada banyak kerja ke lepas ni?' Tanya Padli dengan nada yang sedikit teruja..
'Ada nak buat kerja sekolah..., kenapa?' balasku semula...
'Jom lepak kat padang, aku bosan la.. aku gaduh lagi dengan bapak aku...' sambungnya lagi...
Aku tak dapat menolak pelawaan sebegini. Aktiviti melepak dengan mangkuk sekor ni memang susah nak di tolak. Padli memang selalu mempunyai masalah dengan bapaknya. Bapaknya ada sedikit panas baran. Sama la jugak dengan dia.. 'like father like son' bak kata omputih. Tapi setiap kali dia ada masalah dengan bapak dia aku jarang menolak untuk membantu. Sekurang-kurangnya mendengar apa yang dia nak luahkan. Biasa la sejahanam-jahanam kami, perasaan sentimental tu tetap ada sebagai pelengkap naluri kemanusiaan. Dan seperti malam-malam terdahulu, kerja sekolah tu nyata tinggal angan-angan. Apa ada hal, esok kawan-kawan boleh tolong siapkan.. Aku tanpa berfikir panjang terus menukar simpang menuju ke taman permainan yang agak jauh dari lorong rumah kami. Bukan apa, nak jauh dari pandangan mak bapak sebab sambil melepak dan berborak nanti boleh hisap rokok tanpa rasa sebarang gangguan dan was-was risau mak abah nampak. Tambahan pulak taman permainan tu agak gelap dan jarang ada orang lalu lalang.

Sambil melayan perasaan member nan sekor ni, fikiran aku pon melayang memikirkan betapa sepatutnya aku bersyukur sebab bapak aku tidak seperti bapak si Padli ni. Sifat lembut dan penyabar abah aku membuatkan aku sedikit rasa bersalah dengan tindakan, sikap dan gerak-geri aku selama ni. Mana tidaknya, kami bukanlah dari kalangan keluarga yang kaya, yang mudah mendapat segala-galanya dengan hanya menggunakan kata-kata. Setidak-tidaknya abah aku terpaksa bekerja hampir 12 jam sehari untuk menyara kami sekeluarga. Mak aku dah lama berhenti kerja sejak kami berpindah ke Shah Alam. 'Ah lantak la malas aku nak layan perasaan.. ' lekeh hatiku. Sambil berbual, diam tak diam jam dah menunjukkan pukul 22:30 mlm. Aku dan Padli sudah mula terasa lapar dan ingin pulang ke rumah. Itu la bak kata orang-orang tua, tinggi mana pon terbangnya si burung kalau nak makan turun ke tanah juga. Begitulah aku dan Padli. Semarah-marah mana dengan mak bapak, bila lapar balik rumah jugak.... tak der pulak aku dengar atau pon bertindak sendiri memboikot nak makan kat kedai mamak.
Mana nak datang duit beb.. sekolah lagi.

Sesampai sahaja di rumah, mak aku dah membebel sebab aku lambat balik. Biasa la orang tua, risaunya yang bukan-bukan. Lebih-lebih di Shah Alam ni tiada siapa yang boleh mengadu kat mak aku kalau ternampak aku buat benda-benda tak senonoh kat luar. Tak macam kat Puchong, pantang buat silap sikit, ada jer tukang adu kat mak bapak aku. Tau-tau balik dah kena sedas dua samada dengan tali pinggang, mesti getah paip. Dan dengan cara itu jugak, hati aku ada kalanya lembut dengan nasihat mak dan abah aku. Selesai makan malam aku pun membelek buku-buku kerja sekolah siang tadi. Sedang dok belek-belek tu, tergelincir sampul berisi surat dan gambar dari Fariza, anak dara pak cik Mail yang dah mula mencuri hati sang jantan jalanan ini. Namun hati aku tidak tertumpu pada perasaan lemau tu. Hati aku lebih tertumpu kepada memikirkan masa depan dan sekali sekala di ganggu dengan wajah si Fariza. Sudahnya aku tutup suis lampu terus tidur. Kerja sekolah entah kemana, berangan pon hangat-hangat kepak ayam jer. Malas aku nak layan perasaan sual ni. Tak membantu langsung mencipta aura alpha mahupun aura beta buat memotivasi diri. Layan tidur lagi best...

Cerita 8 – Jantan Macho ( tak seberapa )

Monday, December 28, 2009

Tepat jam 14 :00 petang, waktu persekolahan tamat tanpa sebarang aktiviti kokurikulum tambahan buat pelajar SMS 18. Aku melangkah keluar dari kelas dengan perasaan yang bercampur baur. Samada nak suka dan bergembira atau cool dengan perasaan ala-ala macho selamba.. Surat beserta gambar awek tingkatan 3 yang aku usha minggu lepas tersimpan kemas di dalam beg. Perghhh… mudah sungguh, tak mencabar langsung nak ngorat awek nan sorang nie. Pada aku dia taklah secantik mana jika nak di bandingkan dengan Sharini, tapi cukup buat aku tak terasa sakit masa kena sebat depan astaka sewaktu perhimpunan pagi tadi. Almaklumlah jantan jalanan macam aku, mana pernah tak kena belasah dengan cikgu. Daripada kecik sampai dah agak-agak besar durian D24 ni pon aku masih maintain dengan perangai ala-ala selamba aku. Sambil kena sebat pagi tadi aku tengok muka dia, sual tol Cikgu Musidi. Macam tak ada baris lain nak sebat aku, pilihlah baris kelas lain. Nasib baik tak terasa sakit sangat tadi sebab sambil kena sebat, sambil usha awek yang bernama Fazira. Cute budak nie, cuma kekurangan, dia pandai sikit dari aku. Dah tentu-tentu aku pandai banyak sebab aku tua setahun dari dia.

Sambil melangkah pulang ke rumah, aku sempat berselisih sambil menyapa gadis sunti yang dah buat aku kebal dengan rotan Cikgu Mursidi.
‘ Sakit kena sebat tadi.. ?’, soalnya sambil tersenyum…
‘ Macam kena sebat dengan lidi jer..’, jawabku selamba..
‘ Terima kasih sebab sudi dan percaya kat saya simpan gambar awak..’. sambungku lagi… Dia tersenyum, dan senyuman yang agak manis tu memang boleh buat aku buat pumping 50 kali tanpa henti. Aku berjalan pulang ke rumah beriringan dengan Fariza sambil berbual. Tanpa aku sedari rupanya aku dah salah jalan sebab rumah aku berlainan simpang dan secara tak sengaja aku menghala terus ke rumah Fariza… - sual- Angau dah aku ni… getus hati kecil aku..Tak pasal-pasal aku menapak balik tengah panas buta dengan kadar perjalanan yang agak jauh sorang-sorang. Tapi itu semua dugaan..

Sampai sahaja di rumah, mak dah menyiapkan makanan tengah hari untuk aku. Adik aku yang ‘tengah’ dah ke sekolah. Tinggal adik yang bongsu dan adik sepupu aku yang mak aku asuh dari berusia lepas pantang. Lepas makan tengah hari aku bersiap-siap untuk bersolat Zuhur. Letih rasa badan.. selesai solat, aku melabuhkan punggung ke katil. Sengal sebatan pagi tadi beransur pulih. Itulah gara-gara merokok di tempat awam. Lebih-lebih lagi di sekolah. Aku sebenarnya mula belajar merokok seawal usia 13 tahun ketika bersama-sama geng jahanam di Puchong. Boy antara geng-geng yang sama batch dengan aku belajar merokok. Dan kebiasaan itu aku sambung setelah bertemu semula Padli di sini. Namun aku tidaklah ketagih mana, Cuma isap main-main sekadar mencabar kesabaran Cikgu Mursidi yang aku dah mula tak berkenan sebab reject aku dari team bola tempoh hari. Kerek mamat ni.. Namun aku tak gusar sangat setakat tak main dengan school team. Tak mencabar mana. Lebih baik aku jaga kaki dan berusaha keras dengan team aku sendiri. Team yang agak di geruni juga sebenarnya sebab kalau buat friendly game kitorang jarang kalah. Lagipon hujung minggu ni liga bawah 18 tahun Taman Sri Muda dah bermula. Sekurang-kurangnya aku dapat bermain dengan orang yang lebih tua dari aku.

Tanpa aku sedari dalam baring-baring mengenangkan sakit sebatan tadi, aku terlena seketika.
Seketika?? Jam 6 petang baru aku tersedar, itupon Padli gegar aku dalam bilik.. Selesai solat Asar, aku bersiap ke padang, Padli dah buat muka tabib tak dapat akar kayu. Aku melangkah longlai mencapai basikal dan mengayuh menghala ke padang awam. Dalam kayuhan perlahan itu, aku merasakan ada sesuatu yang belum lengkap dan belum aku lakukan. Aku terus melayan fikiran dan bertanya pada diriku sendiri, pekebenda la yang aku belom buat lagi..?? Alamak ! aku terlupa menalipon di Fariza.. alah lantaklah bukan janji pon dengan dia tadi.. Aku terus meneruskan kayuhan sampai ke padang. Geng-geng yang lain dah bersiap untuk meneruskan latihan.. Aku masih lagi terhegeh-hegeh memakai stoking dan mengenakan kasut. Sayang pulak rasanya aku nak memijak padang yang gersang ni dengan kasut yang agak-agak berharga 3 minggu belanja persekolahan ni.

Sambil dok mengalamun tu, aku terpandang lenggok yang amat-amat aku cam. Sah makcik ni baru keluar dari kedai. Susuk tubuh Fariza yang ala-ala heroin filem Sepet ni dah membuatkan aku malas nak berlari.. Aku melengah-lengahkan masa masuk ke padang. Aku berpura-pura memanaskan badan dengan harapan Fariza akan melalui lorong yang hampir dengan padang awam nie. Dan ramalan aku memang benar belaka, dia melalui lorong yang hampir dengan aku. Dia tersenyum bila nampak aku dari jauh. Perghhhh.. luluh hati aku tengok senyuman mak cik nie. Rasa nak balik dan suruh mak bapak aku masuk meminang dia. Gila ??? Nak bagi makan apa anak dara orang ni nanti ?? Bentak hati aku menerjah ke saraf otak seterusnya mematikan langkah aku pulang ke rumah meneruskan hasrat. Fariza berhenti dan bertanya kenapa aku tak call dia petang tadi. Aku lemah menjawab .. ‘ Sorry.. saya tengah buat homework lepas tu terlupa..’ Dia tersenyum dan aku terus menghampiri dan terus menemaninya melalui lorong di padang awam tu. Dia tak banyak bercakap, namun yang aku pasti dia tak marah, cuma pesanan dia sebelum berlalu membuatkan aku seperti nak berenang dalam parit di hujung lorong padang awam ni. Fariza sempat berbisik di telinga aku sebelum berlalu,.. ‘Lain kali jangan lupa lagi, Iza rindu nak dengar suara awak…’ perghh rasa nak gugur jantung den ! Dan tanpa disedari aku dah pon mempunyai bunga-bunga menjadi jantan jalanan jahanam. Dah pandai menipu dengan selamba !

Cerita 7 - 16 Tahun - Jantan Muda


Julai 1-1995

Kriiiiiiiiingggggggggggggggggggggggg! Kenyaringan bunyi jam loceng membuatkan aku rasa sual semacam. Pagi Ahad yang tenang sekali lagi di ganggu oleh bunyi jam yang sepatutnya tak berbunyi seperti hari-hari persekolahan biasa. Aku termenung seketika, memikirkan kenapa jam bongok ni berbunyi di pagi hari cuti ni… Ya Allah… ! Aku ada training bola hari ni..! Jerkah suara hati yang dah mula mencetuskan detik kelam kabut diri buat seketika. Dengan pantas aku menukar pakaian dan berlari ke bilik air membersihkan anggota oral dan membasuh muka yang tak berapa nak macho.

Aku mencapai basikal dan meluru ke padang awam Seksyen 18 Shah Alam. Aku kebingungan seketika.. Tiada siapa yang sedang membuat regangan otot, tiada siapa yang sedang ber ‘jogging’, dan tiada seorang umat pon di padang berkenaan. Bola pun tak ada! Aku menongkat basikal mountaine bike hadiah dari mak aku selepas lulus tak berapa cemerlang dalam keputusan PMR yang lepas. Basikal idaman jejaka Malaya zaman ini. Aku melepaskan beg kasut dan melabuhkan punggungku di bangku rehat di tepi padang. Cuaca begitu baik, matahari yang sudah mula bersinar sesekali membuatkan aku merintih bertanya diri sendiri kenapa aku sorang jer yang selalu datang awal bila ada latihan?? Aku terhayal seketika mengenang kembali zaman kanak-kanak aku di Puchong suatu ketika dulu. Aku mula terbayang kejernihan air sungai dekat ladang kelapa sawit dan ladang getah kat belakang rumah lama aku. Seronoknya, lebih-lebih lagi pada waktu-waktu begini geng-geng jahanam dah awal-awal lagi kejutkan aku kat rumah.. seperti biasa buat aktiviti lagho yang menyeronokkan sambil menyusahkan tuan punya kebun tembikai yang terletak di ladang kelapa sawit.

Diam tak diam, sudah hampir 3 tahun aku berpindah ke kawasan yang bertaraf bandaraya ni. Tak syok langsung! Aku hampir jadi kurang siuman di minggu pertama tinggal di kawasan ni. Kalau ikutkan perasaaan, aku sanggup tinggal di rumah lama di Puchong sorang-sorang. Masyarakat yang tak berapa nak sporting dan ala-ala sombong kuda.. Ntah apa yang diorang sombongkan pon aku tak tahu. Kalau di Puchong, semua orang kenal antara satu sama lain. Semua masalah dikongsi bersama baik sakit pening, kenduri kendara, nikah kahwin dan kematian semua sama-sama mengembeling tenaga menguruskan segala urusan kifayah. Tapi kat sini jauh sekali… pernah pada suatu malam arwah Wan aku sakit kuat. Ketika tu Wan bermalam di rumah aku kerana nak menemani kami sekeluarga sewaktu mula-mula berpindah ke sini. Semua ahli keluarga datang kerumah aku untuk melawat, maklumlah ketika itu arwah Wan aku dah lanjut usianya dan di serang dengan pelbagai penyakit. Jadi semua ahli keluarga berkumpul. Usianya masih panjang ketika itu dan serangan sakitnya beransur pulih keesokkan harinya. Aku tak sedih dengan sakit Wan aku tu, cuma terkilan dan rasa sakit hati bila salah sorang jiran bertanya kat mak aku.. “ Kak semalam riuh rendah rumah akak tu ada party ker??” Pala hotak hang! Getus hati aku.. Dia tak dengar ke orang tengah baca Yassin malam tadi?? Nak kata family aku ada bukak TV kuat-kuat tak jugak sebab semalaman kami sekeluarga baca Yassin sampai subuh. Aku pon pelik 3 hari, 3 malam aku memikirkan macam mana soalan bangang tu boleh keluar kat mulut makcik yang tinggal sebaris dengan kami.

Sedang aku dok sibuk mengelamun tiba-tiba kepala aku rasa seperti di baling dengan getah keras.. Bongok punya Padli.. sual nasib baik dia baling bola tu tak kuat, kalau tak, sarapan bangku batu la pagi-pagi Ahad mangkuk ni. ‘…. Apesal ko lambat ?? tanyaku dengan nada yang suam-suam kuku. Ali menongkat basikalnya sambil geng-geng jahanam zaman remajaku yang lain baru memasuki simpang ke padang menghala tempat kami berdua.

‘.. Aku pi sarapan dulu la dol!’ selamba jer muka dia.. Aku malas nak layan mangkuk sekor ni, dia ni ada angin sikit, tak boleh bergurau lebih-lebih kalau angin baran dia datang. Aku terus membuka beg kasut dan menyarung stoking pendek dan mengenakan kasut bola berjenama Adidas kesayangan aku. Geng-geng jahanam yang lain dah sampai dan terus bersiap untuk memulakan latihan. Minggu depan ada liga bolasepak bawah 18 tahun kat Taman Sri Muda. Kami selalunya sepakat berlatih kalau ada liga. Dan sebagai jantan jalanan jahanam, bola sepak adalah aktiviti kegemaran kami. Main bola dan tengok bola baik di stadium atau pun di kaca TV. Kalau pergi stadium tengok pasukan Selangor bermain, kami sanggup beramai-ramai kayuh basikal dan sanggup tak makan seminggu kat sekolah nak simpan duit kalau pasukan Selangor main kat Stadium Shah Alam.

Sesekali aku terasa ada baiknya aku tinggal di Shah Alam. Banyak perubahan yang aku dah lakukan sejak aku berpindah ke sini dan aku bersyukur aku masih lagi dapat bertemu dengan geng jahanam zaman kanak-kanak aku. Secara kebetulan Padli dan keluarganya berpindah ke Shah Alam dan dialah satu-satunya penyambung kejahanaman geng-geng yang dah berpecah entah kemana. Dan sejak aku melalui mimpi basah yang membawa kepada perubahan bentuk fizikal dan kemachoaan suara,…. Akhil Baligh..?? Aku secara tiba-tiba teringat akan seseorang yang membawa aku kepada mimpi basah yang menjadikan aku seorang dewasa.. Siapa gerangannya?? Sehingga sekarang aku masih terbayang-bayang bentuk badan dan kelangsingan tubuhnya.. Ermmm sual tol! Rambutnya yang panjang lurus, macam Sharini.. eh? Dah lama juga nama gadis ni tak keluar dari bibir aku. Ah lantaklah.. dia ntah kat mana-mana ntah, maklumlah orang bijak pandai ni mana ada nak sekolah kat kampung-kampung dah.. Malas aku nak ingat... Aku meneruskan latihan dengan geng-geng yang lain.. hari yang sedikit menyeronokkan seketika.. tapi lepas ni ntah apa aktiviti jahanam yang akan aku dan Padli buat masih belom pasti..