Cerita 11 - Jantan, Raja, Puteri, dan Budak Tak Bersalah .. moral of the story ??

Wednesday, January 6, 2010

Hari kedua berada dalam kem motivasi buat aku jadi hilang akal. Mana tidaknya, awal-awal lagi stok rokok yang di bawa dari rumah kena rampas dek fasilitator. Geng-geng jahanam aku yang satu sekolah semuanya dah dipecahkan ke kumpulan lain. Tinggal lah aku dengan 2-3 geng jahanam dari sekolah aku yang disatukan dengan jahanam-jahanam dari sekolah-sekolah lain dari sekitar Klang dan Shah Alam.

Ini semua berpunca dari bergaduh atas astaka sekolah minggu lepas. Ini jugak si Parid, Boy, Abe dan geng-geng yang lain punya pasal. Tak reti nak sabar langsung ! Minggu lepas, selepas sahaja perhimpunan, Abe dan Parid, geng-geng jahanam aku satu sekolah kena belasah dengan geng-geng jahanam budak india, jugak satu sekolah dengan aku. Punca kena belasah pon sikit amat, setakat terlanggar bahu sikit jer. Tapi nak buat macam mana kan, otai kena jaga maruah beb, terlanggar bahu pon tak boleh. Bongok punya Parid !

Jadi sebagai pembalasan, aku dan geng-geng jahanam yang lain ‘repeat’ balik lepas jer perhimpunan hari Isnin. Yang bestnya cikgu-cikgu belum pon sempat masuk bilik guru lepas perhimpunan tu, kitorang dah sesah mamat india ni ramai-ramai. Jadi bila dah ramai-ramai tu 'havoc' la jadinya. Maka di sebabkan aku antara orang yang 'obvious' belasah budak india tu, maka aku antara orang yang pertama kena tarik dek pengetua, yang baru sehari menjejakkan kaki ke sekolah aku.

Sebenarnya masa perhimpunan, sebelum aku dan geng-geng yang lain lanyak budak india ni, pengetua aku dengan bangga menyampaikan hadiah untuk Kejohanan Silat Olahraga Bawah 18 tahun anjuram MSSSM. SMS 18 merupakan johan peringkat daerah dan pengumpul mata tertinggi peringkat negeri. Maka dengan itu aku dan geng-geng jahanam yang lain terpaksa lah jugak menunjukkan kehandalan pesilat-pesilat simpanan sekolah termasuk tukang-tukang karate dari geng-geng jahanam budak india. Saja je nak publisiti jugak adanya.

Dan selepas di sesah sedas dua dek Cikgu Mursidi, aku dan geng-geng jahanam yang lain kena hantar pi kursus motivasi selama 4 hari dekat Kem Ampang Pecah. Bosan sungguh ! Dah la jauh, ulu pulak tu tempatnya.. nak lari balik macam mana ?? Nak tak nak gagahkan jugak la duduk kat situ 4 hari… 2 hari sebenarnya, sebab hari ke 3 kami berempat dengan jayanya balik sendiri sebab dah tak tahan tak dapat isap rokok. Aku, Abe, Parid dan Ej dapat meloloskan diri melaui lubang tikus belakang kem. Tapi pada aku itu buleh dikira satu kerja gila sebab kami lari dalam gelap malam dan kami memang tak pernah pon melalui jalan tersebut waktu malam. Itu belum cukup mencabar bagi aku sebenarnya. Yang lebih mencabar ialah, secara tiba-tiba otak aku buat pertama kalinya berfungsi dengan betul selepas dengar ceramah dari salah seorang penceramah motivasi sebelum aku melarikan diri malam sebelumnya. Cerita dari penceramah tersebut betul-betul buat aku terkedu dan otakku ligat berfikir, tapi ntah apa yang aku fikirkan pun aku tak berapa pasti. Yang pastinya persoalan itu banyak berlegar pasal diri aku !

Maka berceritalah si penceramah perihal seorang budak yang tidak bersalah dalam sebuah kota yang tidak diberitahu namanya. Arakian raja di dalam kota itu terkenal dengan kesukaan peliknya iaitu memelihara buaya. Terlalu banyak buaya-buaya dari pelabagai jenis dan serata sungai di negeri tersebut di kumpulkan dan diletakkan di dalam satu kolam. Adapun seperti yang terdapat dalam mana-mana cerita purba, tidak dapat tidak, maka raja ni mempunyai seorang puteri yang amat cantik lagi anggun. Susuk tubuh yang menarik yang boleh membuatkan Khairy Jamaluddin berhenti jadi YB dan bisa membuatkan dia lupa pada Maya Karin, kekasih gelapnya !

Berbalik kepada cerita si raja ni tadi. Ditakdirkan ketika umur puterinya mencecah 21 tahun maka umur raja juga mencecah 81 tahun, tua juga adanya. Maka si raja dengan rasa gelisah mula mahu mengahwinkan si puteri yang amat di sayanginya kerana dialah satu-satunya anak yang ada padanya yang terhasil dari zuriatnya, yang seterusnya menutup mulut isteri-isterinya yang terdahulu yang mengatakan beliau mandul adanya.

Dan disebalik kerisauan itu, kerana tiada siapalah yang diketahuinya layak memperisterikan puterinya yang cantik jelita itu kerana kebanyakkan yang ‘propose’ mamandang darjat dan kuasa semata. Sedang leka dia memikirkan bagaimana beliau ingin mencari bakal suami sekali gus pemegang tampuk kuasa kerajaan negeri, maka tercetuslah idea mahu mencari orang dari kalangan rakyat biasa. Maka tercetuslah idea bangang dari memanda menteri supaya mempergunakan kolam buaya yang ada di belakang istana tanpa mempersiakannya.

Berselang minggu, maka berhimpunlah rakyat jelata mahu menyaksikan bakal raja mereka yang bodoh untuk menyeberang kolam yang penuh dengan buaya-buaya ganas seperti yang diwar-warkan sebelum ini kerana barangsiapa berjaya berenang dengan selamat di dalam kolam yang penuh dengan buaya ini maka dialah yang layak memperisterikan puteri raja, mendapat kekuasaan dan satu lagi pilihan di atas tangan si pemenang. Dan diberitakan datanglah juga pawang-pawang buaya mahu mencuba nasib masing-masing. Selepas pengumuman di buat, maka terjunlah pawang buaya yang pertama ke kolam tersebut, belumpon sampai sesuku kolam hanya tinggal tangan sahaja yang terapung di permukaan.

Menjeritlah si penglipurlara memberitahu rakyat jelata akan kegagalan pawang pertama, maka pengumuman seterusnya untuk mengumumkan pawang yang kedua yang mana dikenali lebih handal dari pawang pertama. Dan terjunlah dia sesudah pengumuman di buat, namun jangan katakan suku, semeter pon tidak sempat dia berenang. Belompon sempat penglipurlara membuat pengumuman peserta ketiga, secara tiba-tiba kedengaran seolah-olah satu entiti melompat ke dalam kolam dan berenang sehabis kudrat, melepasi garisan pertengahan dia kelihatan letih, namun diteruskan jugak kuakkannya, lepas gaya bebas, keluar pulak kuak kupu-kupu, dan seterusnya sampai lah dia di garisan penamat. Alangkah terkejutnya si raja dan puterinya melihatkan hanya seorang anak muda yang hampir sebaya dengan puterinya termengah-mengah bangkit keluar dari kolam.

Berkata lah sang raja kepada pemuda itu, “ Wahai anak muda, telah aku berjanji kepada sekalian rakyat jelata, engkau akan aku kahwin kan dengan puteri kesayanganku, kedua, engkau akan memegang tampuk kekuasaanku selepas aku mangkat, dan ketiga terletak atas kehendak dan budi bicaramu yang akan aku tunaikan”,

Maka si pemuda tadi dengan keletihan dan tercungap-cungap menjawab, “ baiklah tuanku, tapi boleh tak dahulukan permintaan hamba yang pertama, kemudian hamba akan ikut titah tuanku berkenaan perihal kahwin dan memegang kuasa,’ balas orang muda itu.

Selepas berfikir beberapa saat, maka raja bersetuju dengan permintaan pemuda itu. Raja pun bertitah, “ Wahai anak muda terangkanlah apa keinginanmu”, tanya raja.
Maka jawab anak muda itu, “ Tolong lah hamba, tolong hamba carikan siapakah gerangan yang menolak hamba jatuh ke dalam kolam ini tadi….” Keluh pemuda yang tak berapa nak handsome itu.

Dan terkejutlah sekalian rakyat jelata akan ketidaksengajaan anak muda yang ntah datang dari mana secara tiba-tiba, waima akan memegang tampuk kuasa kerajaan negeri.

Dan sehingga hari ini aku tak tahu apa kesudahan cerita tu, tapi cerita masih lagi terngiang-ngiang kat telinga aku sampai hari ni. “ There is a moral of the story behind the scene.. “

0 comments: